Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 1, 2017

[BENTONG] DITIPU INDIVIDU MENYAMAR POLIS


pdrm


Satu sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis dikesan cuba memperdaya orang ramai menggunakan modus operandi mirip Macau Scam di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohd Mansor Mohamad Nor berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang mangsa yang memaklumkan menerima panggilan daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai Polis Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

“Suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai Sarjan Zarif dari IPK Pulau Pinang memberitahu mangsa kononnya telah terlibat dengan pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah berdasarkan akaun bank mangsa yang dikesan membuat transaksi kepada seorang 'individu' yang ditangkap oleh pihak polis.

“Pengadu telah diberi pilihan sama ada mahu direman oleh pihak polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang untuk siasatan atau keluarkan wang simpanan yang ada di dalam akaun bank, kononnya mahu mengesahkan sama ada wang itu terlibat atau tidak dengan individu yang ditangkap itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Mansor berkata, mangsa yang terpedaya dengan taktik itu akhirnya memilih untuk menyerahkan wang RM45,000 ke dalam akaun bank seperti diarahkan.

“Lepas serah wang, suspek maklumkan jika tak ada sebarang unsur jenayah di atas wang berkenaan, suspek berjanji akan pulang balik wang tersebut...tapi sampai sekarang tiada panggilan yang diterima,” katanya.

Sementara itu, terdapat juga kes penipuan emas palsu di mana suspek memperdayakan mangsa dengan menjual empat utas gelang emas palsu sehingga mendorong pengadu menyerahkan wang berjumlah RM7,800 kerana mempercayai ia adalah emas tulen. 

“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan kes penipuan ini dan kepada sesiapa yang pernah terima panggilan telefon seperti itu diminta segera buat laporan polis.

“Jangan sewenang-wenangnya mengikut arahan jika ada yang minta buat pindahan wang ke akaun lain secara dalam talian," katanya.


0 comments:

share2