Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 28, 2017

YAWAS: JAMAL DEDAH LAGI PENYELEWENGAN ADUN


Yawas: Jamal dedah lagi penyelewengan Adun


Sabak Bernam - Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendedahkan berlaku penyelewengan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menerusi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang didakwa dilakukan seorang lagi Adun Selangor sejak 2008 sehingga kini.

Jamal berkata, beliau mempunyai bukti kukuh menerusi dokumen setebal 78 muka surat itu bahawa skim khairat kematian yang diberikan kepada waris yang telah meninggal dunia sebanyak RM2,500 untuk rakyat di negeri ini telah disalah guna.

"Perkara ini telah berlaku sejak sembilan tahun lalu.

"Saya ingat beliau insaf setelah melakukan kesalahan pertama dan kedua...rupa-rupanya, apabila terdapat keseronokan menggunakan duit rakyat tanpa kawalan ini, beliau berterusan melakukan pecah amanah," katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis berhubung penyelewengan dilakukan Suee Lim di Balai Polis Sekinchan, pagi tadi.

Sebanyak dua laporan polis dibuat di balai polis itu kira-kira jam 10.20 pagi tadi.

Jamal membuat laporan itu bersama Pegawai Khas Ahli Parlimen Sungai Besar, Ng Boon Kiong dan mereka turut diiringi Penasihat Undang-Undang NGO Malaysia, Datuk Mohd Imran Tamrin.

Jamal berkata, dijangkakan lebih daripada 100 laporan polis akan dibuat di balai polis berhubung penyelewengan yang berlaku di Dun itu dalam waktu terdekat ini.

"Ini bukanlah satu fitnah dan andaian semata-mata. kami buat laporan berdasarkan kepada dokumen, termasuklah laporan buku aliran tunai," katanya.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata, terdapat pengeluaran berjumlah puluhan ribu daripada Mesin Juruwang Automatik (ATM) pada setiap bulan.

"Saya dapat laporan dan aduan sebelum ini, tetapi kami tidak mempunyai bukti.

"Mereka mengadu tandatangani borang RM1,000, tetapi mereka hanya dapat RM500...kita ada senarai tersebut," katanya.

Beliau mendakwa, terdapat puluhan waris yang layak menuntut SMUE tidak memperoleh manfaat di Dun berkenaan.

"Saya sendiri menghubungi penama tersebut dan akan membawa mereka yang telah disenaraikan namanya ini untuk datang membuat laporan polis," katanya.

Beliau menegaskan, sepatutnya dana yang diperuntukkan di bawah Yawas dan disalurkan kepada SMUE itu mencukupi untuk rakyat di negeri ini.

"Peruntukan yang disalurkan ini tidak seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) yang disalurkan tanpa pilih kasih, tetapi apa yang mereka perkenalkan ini hanya untuk kepentingan politik semata-mata dan bukan untuk kepentingan rakyat di negeri ini," katanya.


0 comments:

share2