JERLUN - Umno menjangkakan bahawa parti itu akan bersatu dan bersama dengan Pas dalam soal Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak lama lagi.
Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun Umno dan parti Islam itu sering tidak sependapat, tetapi apabila tiba soal perhitungan agama khususnya RUU355 kedua-dua parti itu akan bersatu demi menjaga kepentingan serta kedaulatan agama.
“Politik itu politik, tetapi agama itu lebih tinggi daripada politik. Tak lama lagi kita akan tengok apabila RUU355 nak memperkasakan mahkamah syariah, bila sampai bab agama itu, politik parti di bawah dan agama perlu berada di atas.
“Apabila agama perlukan pembelaan, kita akan lihat dalam Parlimen siapa yang akan membela Islam. Adakah DAP akan sokong? Adakah parti cap bunga akan sokong ataupun PKR akan sokong? Mereka tidak akan sokong sebab mereka ada perhitungan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena siri jelajah penerangan Umno pusingan ketiga di pekarangan Dewan JKKK Kampung Kubang Menerong, Padang Sera, di sini, kelmarin.
Menurutnya, apabila sampai pada soal agama, bangsa dan negara, maka kebergantungannya adalah kepada Umno.
“Kita berpolitik bukan kerana saja-saja seronok nak perintah parti, kita tidak boleh berpolitik hanya soal dendam peribadi, kita tidak bermain politik kerana kebetulan ikut mak ayah semata-mata, kita tidak bermain parti kebetulan orang suruh, kita semua terlibat dengan politik kerana dari sudut kehidupan beragama kita sedang tunaikan fardhu kifayah,” katanya.
Jelasnya, politik itu merupakan sebahagian daripada ibadah dan ibadah tidak boleh dibuat main-main dan tak boleh dibuat ikut perasaan. Ia bukan dilakukan kerana sayangkan kepada individu tertentu dan bukan soal jasa pemimpin tertentu.
Dalam perkembangan lain, Annuar mengakui kasih sayangnya dan rasa hormat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah berubah meskipun tokoh pemimpin itu kini tidak lagi berada dalam Umno.
“Jasa tetap saya kenang, tetapi dalam soal bicara bangsa dan masa depan negara kita adalah lebih besar daripada soal masa depan seorang individu.Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Musa Hitam ataupun Tun Abdullah Ahmad Badawi sampailah hari ini, soal peribadi individu dibandingkan dengan matlamat dan tanggungjawab kita pada agama, bangsa dan negara, soal individu itu terlalu kecil.
“Kita mesti melihat dari perspektif kepentingan bangsa dan negara. Orang yang sama apabila dia meninggalkan saf perjuangan parti yang kita dokong bersama, ia hanyalah seorang pemimpin biasa. Siapa Datuk Onn Jaafar apabila dia meninggalkan Umno? Walhal dialah yang menjadi pengasas Umno, dialah yang melahirkan Umno dan dia jugalah orang yang terawal mengadap Raja-Raja untuk bergerak ke arah menggabungkan kekuatan orang Melayu yang ratusan tahun tidak dapat bergabung,” katanya.
Annuar berkata, terlalu besar jasa Datuk Onn Jaafar tetapi apabila beliau meninggalkan Umno, beliau hanyalah Datuk Onn Jaafar.
Beliau turut mendoakan supaya Tun Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan kembali kepada Umno.
0 comments:
Post a Comment