Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, March 26, 2017

[ROMPIN] TANJUNG GEMOK BERUBAH WAJAH


Tanjung Gemok berubah wajah


Terminal Jeti Pelancongan Tanjung Gemok, di sini, amat berpotensi berkembang untuk beroperasi penuh seperti Jeti Mersing, Johor, yang sebelum ini lebih dikenali di kalangan pelancong yang mahu ke Pulau Tioman.

Adun Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain, berkata, bukan sekadar melalui feri tetapi akan datang pelancong juga boleh memasuki antara pulau 10 peranginan tercantik di dunia itu melalui penerbangan.

Menurutnya, Terminal Jeti Pelancongan Tanjung Gemok turut akan menawarkan kemudahan lengkap dan selesa agar pelancong dapat menikmati percutian yang terbaik.

Beliau berkata, pertambahan perkhidmatan feri ke Pulau Tioman di terminal itu juga memberi kesan positif kepada industri pelancongan dan penduduk tempatan.

Sejajar dengan perkembangan itu, jeti itu kini sesak dengan kedatangan pelancong hampir setiap hari hingga perjalanan feri perlu ditambah bagi menampung jumlah kehadiran pelancong yang ramai.

“Setakat ini ada empat perkhidmatan feri disediakan di jeti ini, ia merupakan persaingan sihat yang secara tak langsung memberi impak dan kesan positif kepada Tourism Pahang serta Pulau Tioman secara khususnya.

“Justeru itu saya juga ambil kesempatan untuk mengalu-alukan semua pelancong luar dan tempatan dari seluruh pelosok negara untuk ke pulau ini bagi melihat sendiri keindahan alam semula jadinya,” katanya kepada pemberita, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan perkhidmatan bas dari Terminal Bersatu Selatan (TBS) ke Terminal Jeti Pelancongan Tanjung Gemok dan Berjaya Ferry Services ke Pulau Tioman di jeti itu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Hotel Resort, Hanley Chew serta Pengurus Besar Berjaya Tioman Resort, Sonny Gun.

Mohd Johari turut menzahirkan harapan agar jolokan antara 10 pulau tercantik di dunia yang dimiliki Pulau Tioman akan sentiasa kekal dan dipelihara untuk dinikmati pelancong.

Sementara itu, Sonny Gun yang ditemui menjelaskan perkhidmatan bas itu bagi memudahkan pelancong untuk ke jeti sebelum menyeberang ke Pulau Tioman manakala servis feri yang dibuka untuk umum bertujuan melancarkan perjalanan pelancong.

“Perkhidmatan feri ini telah bermula sejak Jun tahun lalu dan akan terus ke Jeti Tekek sebelum pelancong dibawa ke Berjaya Tioman Resort menaiki kenderaan disediakan. Ia bagi tingkatkan kepuasan tetamu dan tahap perkhidmatan,” katanya.


0 comments:

share2