Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 23, 2017

PUPUK KESEDARAN SAYANGI HAIWAN


Pupuk kesedaran sayangi haiwan


Kota Bharu - Program Cat Fiesta 3.0 membantu memupuk kesedaran orang ramai menyayangi haiwan serta mengumpul dana untuk Rumah Anak Yatim Darul Kautsar dan sebuah pusat perlindungan kucing.

Pengarah program, Mohd Harris Shahriman berkata, ia juga bagi beri peluang kepada orang ramai menyaksikan keletah kucing pelbagai jenis yang mungkin mereka tidak pernah lihat.

“Program ini juga sudah menjadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu peminat kucing termasuk dari luar Kelantan.

“Pelbagai jenis kucing dapat dilihat dan haiwan itu turut dihias mengikut kreativiti pemiliknya,” katanya.

Penganjuran program edisi keempat sejak program itu dimulakan pada 2014 dijayakan oleh Majlis Penghuni Desasiswa Nurani Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Kelab Kucing Malaysia (KKM) melibatkan penyertaan 87 ekor kucing.

Pada pertandingan itu, tiga kategori utama iaitu kucing ‘Bengal’ terbaik dimenangi oleh ‘Nusantrabengal Handsome’, kategori bulu panjang terbaik dijuarai ‘Miko’ manakala kategori bulu pendek terbaik pula ‘Bulgary BV’.

Malah, hakim luar negara dari dari Persekutuan Kucing Australia (ACF) Jo-Anne Frank turut hadir mengadili kucing-kucing yang dipertandingkan.

Sementara itu, Presiden KKM, Khalid Rashid turut berpendapat peminat dan pembiak baka kucing di negeri ini mempunyai pengetahuan setanding dengan rakan-rakan mereka yang mempunyai minat sama.

“Sebab itu juga kita bawa hakim dari luar negara supaya peminat tempatan dapat lebih pendedahan dan mengambil nasihat daripada beliau yang amat arif berkaitan haiwan tersebut,” katanya.


0 comments:

share2