Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 7, 2017

PAS TAK BIMBANG ANDAIAN HILANG KERUSI DI SELANGOR


Pas


Shah Alam – Pas hari ini menegaskan tidak bimbang dengan andaian yang parti itu bakal kehilangan hingga 10 kerusi pada PRU akan datang.

Tidak bimbang dengan dakwaan tersebut, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, pihaknya sudah merangka strategi tersendiri yang membolehkan Pas kekal dalam kerajaan Selangor hingga PRU akan datang.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan bentuk strategi dan jumlah kerusi yang bakal ditumpukan Pas pada PRU nanti.

“Kami sudah ada strategi kami sendiri untuk memenangi PRU depan. Apa yang penting adalah bagaimana kita (Pas) akan kekal dalam kerajaan Selangor selepas PRU nanti,” katanya kepada Sinar Online.

Kedudukan Pas Selangor kini goyah setelah parti itu bertegas tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan Amanah pada PRU akan datang.

Pada PRU lalu, daripada 56 kerusi Dun di Selangor, DAP menang 15 kerusi; Pas (15) dan PKR (14) sehingga berjaya membentuk kerajaan yang pada masa itu dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Manakala BN pula memperoleh 12 kerusi.

Setelah berlaku pergolakan politik sepanjang empat tahun lalu, pembahagian kerusi antara parti-parti pembangkang turut berubah dengan DAP kekal 14 kerusi; Pas (13), PKR (13), Amanah (2) dan Bebas (2). BN kekal 12 kerusi.

Analisis yang dibuat oleh Oriental Daily mendapati, pada PRU lalu, daripada 21 Dun yang dipertandingkan Pas, parti itu menang 15 kerusi dengan lapan kerusi daripadanya menang atas sokongan daripada pengundi bukan Melayu.

Kelapan-lapan kerusi Dun yang dimaksudkan itu ialah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Seri Serdang, Chempaka, Meru, Dusun Tua dan Tanjong Sepat.

"Semua lapan kerusi itu berada dalam kawasan bandar dengan jumlah pengundi Cina menghampiri atau lebih daripada 30 peratus. Dijangkakan, pada PRU kali ini, tanpa sokongan daripada pengundi Cina, adalah sukar bagi Pas untuk mempertahankan kelapan-lapan kerusi yang dimenangi mereka dulu," kata seorang pemimpin pembangkang kepada akhbar ini.

Selain itu katanya, dua kawasan luar bandar seperti Dun Morib dan Tanjung Sepat dimenangi Pas dengan kelebihan majoriti kurang daripada 1,000 undi turut berada dalam keadaan tidak menentu.

Oleh itu, atas faktor kehilangan sokongan pengundi Cina, Pas kemungkinan akan kalah sekurang-kurangnya 10 Dun di Selangor pada PRU14.


0 comments:

share2