Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 7, 2017

‘HATI TENTERAM IKUTI PENGAJIAN PONDOK'


‘Hati tenteram ikuti pengajian pondok’


Kuala Ketil - Tidak ramai mengenali siapa sebenarnya pengasas kepada Maahad Al-Naim di sini, hinggakan ada yang beranggapan ia diasaskan oleh guru agama pondok.

Namun siapa sangka di sebalik kejayaan Maahad Tahfiz dan Sekolah Rendah Al-Naim sejak ditubuhkan 34 tahun lalu diasaskan oleh bekas pemangku Ketua Polis Kedah.

Menceritakan bagaimana maahad ini ditubuhkan, pengasasnya, Abd Talib Yaacob, 75, berkata, ianya bermula dengan kelas pengajian agama yang diikutinya di sebuah pondok di Pahang pada tahun 1974.

“Waktu itu, saya bertugas sebagai Pegawai Cawangan Khas di Pahang. Setiap minggu saya akan mengikuti pengajian di Madrasah Al-Diniah Kampong Pangsa Enam, Temerloh bagi mendalami ilmu agama.

“Mulai dari situ, hati saya mula tertawan dengan pengajian pondok setelah melihat adab dan akhlak kepada yang mengikutinya.

"Hati pula rasa tenteram setiap kali datang menuntut ilmu,” katanya memulakan bicara ketika ditemui di Maahad Tahfiz Al Naim di sini, semalam.

Menurut Abd Talib, selepas tiga tahun mendalami ilmu agama di pondok berkenaan, beliau kemudiannya dipindahkan ke Melaka juga sebagai pegawai cawangan khas.

“Walaupun telah berpindah tetapi hubungan saya dengan arwah Tuan Guru Haji Abdul Rahman tetap rapat malah sesekali saya akan ke pondok tersebut untuk menuntut ilmu.

“Dalam masa sama, tuan guru ada memberi galakan kepada saya untuk membuka pondok agama. Hinggalah tahun 1982, saya tekad untuk mengasaskan sebuah pondok selepas mengenali seorang guru dari Maahad Tarbiah Islamiah, Derang Pokok Sena,” katanya.

Abd Talib berkata, guru berkenaan adalah Allahyarham Tuan Sheikh Niamat Yusof yang dikenalinya sewaktu menghantar anaknya belajar ke Maktab Mahmud Alor Setar.

“Tuan Sheikh Niamat merupakan tenaga pengajar di Maktab Mahmud dalam masa sama membuka pondok di Derang. Saya kemudian menziarahi pondok beliau dan tertarik dengan sistem pengajian yang beliau jalankan.

“Bermula dari situ, saya berbincang dengan Allahyarham untuk membuka pondok di Kuala Ketil,” katanya.

Bina pondok di atas tanah wakaf

Abd Talib berkata, dengan bimbingan Tuan Guru Abdul Rahman dan Tuan Syeikh Niamat , sebuah pondok dibina di Kuala Ketil di atas sebidang tanah persendirian yang diwakafkan ayahnya.

“Ayah, Yaacob Said mewakafkan sebidang tanah persendirian miliknya pada tahun 1982 di Pekan Lama, Kuala Ketil dan dirasmikan oleh kedua-dua guru tersebut. Pondok itu telah dinamakan Maahad Tarbiah Islamiah Desa Murni.

“Pada asalnya, pondok tersebut menawarkan pengajian Al-Quran, bahasa Arab dan agama. Kemudian pada tahun 1984, Maahad Tarbiah Islamiah Desa Murni dinaungi Maahad Tarbiah Islamiah Derang dengan tambahan sukatan mata pelajaran lain,” katanya.

Apa yang menariknya, Abd Talib yang bertungkus lumus menguruskan maahad ketika itu masih bersama polis dengan jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Raub, Pahang.

Katanya, kesibukan menjaga keselamatan negara tidak melemahkan hasratnya mengembangkan syiar Islam, sebaliknya usaha mengembangkan maahad berkenaan diteruskan hingga bersara.

“Khidmat saya dalam polis adalah selama 35 tahun 48 hari. Beberapa jawatan disandang termasuklah sebagai Pemangku Ketua Polis Negeri Kedah pada 1997.

“Antara jawatan dilantik sebelum bersara ialah Pegawai Cawangan Anti Dadah, Timbalan Komandan Maktab Siasatan Jenayah, Pegawai Logistik Bukit Aman, Pegawai Penyelidik dan Perancangan Bukit Aman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah,” katanya.

Beliau berkata, Maahad Tarbiah Ismiah Desa Murni pada tahun persaraannya didaftarkan di bawah Akta Pendidikan 1996 sebagai Sekolah Rendah Al-Naim.

Pada 1 Disember 2005, Maahad Tahfiz Al-Naim beroperasi dengan seramai 21 pelajar.

Kemudian pada 2008, Maahad Tahfiz dan Sekolah Rendah Al-Naim didaftarkan di jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK).

“Pada mula pondok dibina, pelajar hanya berjumlah 60 orang tetapi hari ini kemasukan pelajar yang terdiri lelaki dan wanita berusia 6 hingga 20 tahun semakin bertambah dengan jumlah keseluruhannya ialah 400 murid.

“Tapak asal maahad ini hanya seluas 6.5 hektar, alhamdulillah hari ini, pihak maahad sudah membina beberapa prasarana tambahan di atas tanah seluas 12.5 hektar,” katanya.

Tambah beliau lagi, pelajar maahad tersebut selain dari Malaysia terdiri daripada negara Thailand, Myanmar, China, Jerman, Kemboja dan England.

Cadang jadikan maktab perguruan tahfiz

Menurut Abd Talib, perancangan beliau seterusnya ialah menjadikan maahad berkenaan sebagai maktab perguruan tahfiz.

“Itu adalah perancangan saya pada masa hadapan, untuk ke arah itu, pihak pengurusan sedang membina sebuah bangunan sekolah rendah tiga tingkat dengan kos bernilai RM 2 juta.

“Pihak pengurusan juga akan bina kompleks saudara baru dengan kos bernilai RM 25 juta,” katanya.

Sementara itu, pelajar maahad yang ditemui, Amir Fuhairah,13 dari Changloon berkata, 13 juzuk telahberjaya dihafalnya sejak dihantar pada usia 11 tahun.

Manakala bagi Wan Abdul Khobir, 15, dari Bangkok, Thailand berkata, dia dihantar keluarga sejak sebulan lalu dengan maklumat maahad diperoleh dari kenalannya.

“Saya gembira dapat belajar dan berada di sini, kawan-kawan dan guru sangat baik dan ramah.

"Impian saya di sini ialah untuk menghafal 30 juzuk dengan baik,” katanya.

Sementara itu, sumbangan boleh disalurkan menerusi Bank Islam di nombor akaun 020480-10025983 di atas nama Maahad Tahfiz Al-Naim Desa Murni atau Public Bank di nombor akaun 4893237526 di atas nama Maahad Tahfiz Al-Naim.

Orang ramai juga boleh hubungi Abd Talib Yaacob di talian 019-4516403 atau Fatimah Zaharah di talian 019-5213903.


0 comments:

share2