Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 22, 2017

[KUANTAN] WUJUDKAN MUZIUM KONTEMPORARI


Wujudkan Muzium Kontemporari


Pahang bakal memiliki Muzium Kontemporari yang menghimpunkan karya-karya dan lukisan kontemporari pelukis tempatan di negara ini.

Exco Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, muzium pertama khusus untuk genre tersebut bakal dibuka tahun ini di Muzium Seni Pahang.

Menurutnya, ini antara usaha untuk membantu pelukis selain menjadi medan menghimpunkan karya-karya genre tersebut.

“Menerusi muzium itu, kita akan mengadakan pameran dua tiga bulan sekali untuk pelukis dan pengkarya sama ada dari dalam dan luar Pahang.

“Ini juga memberikan peluang kepada mereka untuk bergerak lebih aktif, profesional selain mampu meningkatkan sumber pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran pameran solo Alunan Jiwa oleh pelukis wanita kelahiran Perak, Lyna Khairi di 90 Degree Cafe & Art, Air Putih di sini semalam yang turut dihadiri Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar dan pemilik kafe, Jessin Wong.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menetapkan pengusaha hotel ataupun pejabat menggunakan karya pelukis tempatan di bangunan dan premis masing-masing.

“Bagi bangunan hotel dan pejabat yang baru dibuka, kita cadangkan supaya karya tempatan digunakan untuk menghiasi premis mereka dan ini boleh membantu survival golongan terbabit dalam bidang ini,” katanya.

Sementara itu, Lyna ataupun nama sebenarnya, Rozlina Khairi, 46, ketika ditemui berkata, dia gembira dapat mengadakan pameran solo yang menghimpunkan 16 karya catannya bermula 1 Mac lalu hingga 30 April ini.

Menurutnya, lukisan menggunakan akrilik sebagai medium itu dihasilkan sejak 2013 dan menjadikan wanita dan persekitaran sebagai subjek karya.

“Saya berharap orang ramai dan penggemar seni dapat mengenali serta menghayati diri saya menerusi karya dihasilkan,” katanya.

Pameran itu dibuka setiap hari kecuali Rabu bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah malam dan masuk adalah percuma.

Karya Lyna yang juga seorang penulis serta ilustrator buku kanak-kanak itu dijual dari harga RM2,000 hingga RM10,000.


0 comments:

share2