Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 25, 2017

[KUANTAN] GUNA 5 JENIS RACUN CANTIKKAN CILI


Guna 5 jenis racun cantikkan cili


Pengguna di negeri diingatkan supaya berwaspada dengan cili dikhuatiri mengandungi racun berlebihan akibat kerakusan segelintir pengusaha tanaman itu.

Pengarah Pertanian Pahang, Datuk Mohd Anim Hosnan berkata, ada penanam cili menggunakan campuran lima jenis racun bagi menghasilkan cili yang cantik.

Menurutnya, sebagai pengguna, pastinya mereka lebih memilih sayur-sayuran yang segar dan tidak rosak.

“Bagaimanapun, hakikatnya, sayuran atau tanaman cili yang cantik itu dikhuatiri mengandungi racun yang tinggi. Kegiatan ini dikesan dilakukan pekerja asing yang diupah oleh ‘petani’ berkenaan dengan keuntungan 20 hingga 40 peratus daripada hasil diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif MyGap di Dewan PM Najib, di sini semalam.

Seramai 73 petani di daerah ini menerima bantuan insentif MyGap seperti mesin rumput, alat penimbang dan pam racun.

Insentif itu disampaikan oleh Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang, Datuk Shafik Fauzan Sharif dan turut dihadiri Pegawai Pertanian Kuantan, Amir Dzulfadli Samad.

Mohd Anim berkata, tindakan pengusaha terbabit akan memberikan kesan terhadap eksport sayur-sayuran ke luar negara kerana akan melalui proses saringan kandungan racun sebelum memasuki ke sesebuah negara.

Katanya, sayuran yang dikesan mempunyai racun berlebihan tidak akan dieksport dan pasti berlaku lambakan di dalam negara sebelum dijual dengan harga rendah.

“Justeru, saya ingin petani di negeri ini mengamalkan amalan pertanian baik menerusi atau MyGap.

“Setakat ini, seramai 394 petani di negeri ini mempunyai sijil MyGap dan ini menjamin keselamatan produk mereka,” katanya.

Beliau berkata, Pahang menerima peruntukan RM400,000 iaitu tambahan RM200,000 berbanding sebelum ini.

“Kita akan memperbanyakkan insentif di bawah MyGap ini dengan memberikan khidmat nasihat selain bantuan barangan kepada petani,” katanya.


0 comments:

share2