Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 31, 2017

[KUANTAN] 99,000 GRADUAN DAPAT KERJA


99,000 graduan dapat kerja


Lebih 99,000 graduan berjaya mendapat pekerjaan bersesuaian sejak pelancaran Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dilancarkan pada Jun 2011.

Ketua Pengarah, Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahamat Bivi Yusoff berkata, ramai graduan dibantu secara langsung dan tidak langsung menerusi SL1M berjaya mendapat pekerjaan dan membantu mengatasi masalah pengangguran.

Menurutnya, graduan sepatutnya mengambil peluang disediakan itu untuk mendapatkan pekerjaan dan ia sekali gus dapat merancakkan lagi ekonomi di negara ini.

“Kita dah sediakan pelbagai cara untuk graduan dan belia menganggur mendapatkan pekerjaan. Jadi mereka patut ambil peluang...mereka tak seharusnya memilih pekerjaan.

“Saya akui ramai graduan hari ini lebih suka bekerja di sektor kerajaan hingga menyebabkan tempat terhad. Justeru graduan dan belia boleh isi kekosongan jawatan di syarikat swasta atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Penutupan Program Temu duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Pantai Timur 2017 di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Daing Ibrahim; Duta SL1M, Faizal Tahir dan Ketua Sekretariat SL1M, Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Norashikin Ismail.

Program selama dua hari itu mendapat sambutan meriah daripada graduan dan golongan belia apabila lebih 10,000 pengunjung hadir bagi memenuhi kekosongan jawatan ditawarkan GLC dan swasta.

Menyentuh mengenai program itu, Rahamat berkata, lebih 80 syarikat menawarkan 10,000 peluang dan pekerjaan kepada pencari kerja dan graduan.

Katanya, ia program kali kedua diadakan di peringkat zon timur dan dijangka akan diteruskan ke seluruh negara.

“Peluang pekerjaan dah kita bawakan khas untuk para graduan dan pencari kerja yang datang dari seluruh pelosok negeri Zon Pantai Timur ini.

“Jadi pencari kerja lepasan Ijazah dan ke atas, boleh datang mengambil peluang ini,” katanya.

Selain itu, beliau mengingatkan para graduan dan pencari kerja supaya tidak bersikap terlalu memilih pekerjaan.

“Beranilah untuk keluar dari zon selesa, usah terlalu takut untuk keluar dari kampung dan berhijrah ke tempat lain yang banyak menawarkan peluang pekerjaan.

“Ambil peluang yang ada. Dapatkan sekurang-kurangnya satu peluang temu duga bersama majikan yang mengambil bahagian dalam program ini,” katanya.


0 comments:

share2