Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 31, 2017

AGAMA ITU NASIHAT


Agama islam


ISLAM, agama yang membimbing manusia berdasarkan nasihat. Sabda Rasulullah SAW: "Agama itu nasihat, agama itu nasihat, agama itu nasihat," Tamim berkata, "Kami bertanya: Untuk siapa wahai Rasulullah?" Baginda SAW menjawab: "Untuk ALLAH, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin dan seluruh umat Islam." (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW inginkan interaksi sosial dibangunkan berdasarkan nasihat menasihati, keikhlasan dan kejernihan. Kehidupan akan tenang jika panduan Rasulullah SAW ini diamalkan sebaiknya.

Perhatikan kenapa Rasulullah SAW menjawab apabila ditanya sahabat: "Untuk siapa." Rasulullah SAW menjawab yang pertama untuk ALLAH. Apakah maksud nasihat untuk ALLAH? Hal ini memerlukan pencerahan agar manusia tidak terpesong. Nasihat untuk ALLAH iaitu terjadi hubungan antara ALLAH dan hamba-Nya atas dasar keikhlasan, bukan dasar riak atau kecurangan. 

Jawapan kedua Rasulullah SAW atas pertanyaan iaitu nasihat kepada kitab ALLAH. Maksudnya adalah mengamalkan, mengikut petunjuknya, membenarkan syariatnya, santun dengan adabnya dan berakhlak dengan akhlaknya.

Umat Islam hendaklah mentadabbur kitab ALLAH dan memahaminya untuk maju ke hadapan. Jika tidak menjadikan al-Quran sebagai panduan dan mengambil panduan orientalis sebagai pemandu hidup, mereka akan hilang punca. Manusia yang tidak merujuk kepada al-Quran dimurkai ALLAH, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Muhammad ayat 24.

ALLAH menyindir manusia yang enggan mentadabbur al-Quran seolah-olah mereka mengatakan al-Quran tidak sempurna dalam Surah An-Nisaa' ayat 82. 

Al-Quran punya barakah

Pemimpin, ulama dan rakyat hendaklah meletakkan al-Quran sebagai panduan kerana al-Quran mempunyai barakah, sebagaimana firman ALLAH dalam Surah Shad ayat 29.

Ayat ini adalah penegasan kepada umat Islam supaya berpegang kepada al-Quran. Jauhilah kepercayaan syirik, khurafat dan bidaah. Al-Quran adalah kitab ALLAH. Barang siapa berpegang kuat dan bergantung kepada tali ikatan ini, maka dia tidak akan terjatuh selamanya.

Jawapan ketiga Rasulullah SAW adalah nasihat untuknya. Apakah maksud nasihat untuknya? Iaitu mengikut sunnahnya, menghidupkannya dan menyebarkannya kepada masyarakat. Pendakwah menghidupkan sunnah yang hampir dilupakan.

Sesiapa yang menghidupkan sunnah Rasulullah SAW mendapat balasan syurga, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Islam dimulai dengan asing dan akan kembali asing seperti awal kedatangannya, maka berbahagialah orang yang asing." Dikatakan kepada Baginda SAW: "Siapakah orang asing itu wahai Rasulullah?" Baginda SAW menjawab: "Orang yang memperbaiki sunnahku yang diabaikan manusia dan menghidupkan sunnah yang dimatikan manusia." (Riwayat At-Tirmizi)

Salah faham ibadah

Dewasa kini, upacara atau amalan masyarakat banyak yang bercanggah dengan garis panduan ditetapkan Baginda SAW. Perlu diusahakan membetulkan salah faham perihal tata cara beribadah kepada ALLAH.

Oleh itu, amal yang dilakukan Muslim hendaklah sesuai dengan keinginan dan kehendak ALLAH dan rasul-Nya. Manusia tidak diberikan ruang kebebasan untuk menambah syariat dengan menerapkan sekehendaknya. 

Jawapan keempat Rasulullah SAW, nasihat untuk pemimpin kaum Muslimin. Mereka yang tergolong dalam pemimpin kaum Muslimin ialah penguasa negeri, hakim, pemerintah dan ulama. Mereka yang terlibat dalam dunia kepimpinan hendaklah menjaga amanah dengan baik dan jangan dirosakkan kepercayaan rakyat.

Sayidina Umar RA cukup berhati-hati dalam hal melibatkan keadilan sehingga beliau menghantar surat kepada gabenor Mesir, Abu Musa Al-Asya'ari. Dalam surat tersebut tercatat, Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab berkata: "Amma ba'du: Sesungguhnya pemerintah yang paling berbahagia ialah ketika rakyatnya berbahagia kerana dia. Pemerintah yang paling celaka ialah ketika rakyatnya ditimpa kecelakaan kerana dia. Jauhkanlah dirimu daripada kemewahan hidup, kerana seluruh pegawaimu akan mencontohi kamu. Kamu seumpama seekor binatang yang melihat padang rumput menghijau lalu makan banyak sehingga gemuk. Dengan gemuknya itu menyebabkan kematiannya, dia disembelih dan dimakan."

Surat Sayidina Umar ini adalah satu peringatan kepada pemimpin. Jika tidak, mereka dijatuhkan rakyatnya. Jagalah amanah dengan baik agar tidak dimurkai ALLAH.

Nasihat buat pemimpin

Sebuah nasihat menarik perlu diteladani mereka yang terlibat dalam dunia kepimpinan. Nasihat ini daripada Khalifah Umar, katanya: Pemimpin itu ada empat jenis:-

1. Pemimpin yang dapat menguasai dirinya (tidak dikuasai hawa nafsunya) dan pegawainya. Sifat itu seperti mujahid yang berjihad pada jalan ALLAH. ALLAH sentiasa menghulurkan rahmat kurnia kepadanya.

2. Pemimpin yang lemah dalam menguasai dirinya. Pegawainya berlaku sewenang-wenang lantaran kelemahannya. Pemimpin seperti ini berada di tepi jurang kebinasaan kecuali ALLAH memberikan rahmat kepadanya.

3. Pemimpin yang dapat menguasai pegawainya tetapi dia berlaku sewenang-wenang. Pemimpin seperti ini ahli Hutamah (salah satu nama neraka).

4. Pemimpin yang membiarkan dirinya dan pegawainya berlaku sewenang-wenangnya, lalu mereka semua akan binasa.

Lihat contoh Khalifah Umar bin Abdul Aziz sewaktu berbincang dengan anaknya. Suatu hari anaknya, Abdul Malik berkata kepadanya, "Mengapa ayah tidak melaksanakan perkara seluruhnya? Demi ALLAH, saya tidak peduli sekalipun kuali besi telah mendidih, asalkan saya dan ayah mati di jalan ALLAH."

Pemuda yang bertakwa dan penuh semangat tersebut meminta ayahnya yang diamanahkan ALLAH menjadi pemimpin agar menghapus kezaliman dan kerosakan secara serentak, tanpa strategi dan penuh kesabaran. Bagaimana jawapan bapa kepada anaknya. Umar menjawab: "Jangan terburu-buru, wahai anakku. ALLAH mencela arak dalam al-Quran dua kali lalu mengharamkannya pada kali yang ketiga. Ayah takut membebankan kebenaran kepada manusia secara serentak. Sehingga, manusia menolak kebenaran tersebut. Hingga akhirnya hal ini akan menimbulkan fitnah."

Ulama umpama garam bagi umat

Ulama bersama pemimpin haruslah memberi nasihat agar pemimpin tidak lari dari landasannya. Renungilah nasihat Imam Al-Ghazali yang bermaksud ulamalah menjadi sebab utama kerosakan masyarakat di seluruh dunia.

Mereka adalah garam bagi umat. Apabila garam rosak siapakah yang dapat memperbaikinya? Kemudian beliau menyebut lagi: "Sesungguhnya doktor itu ialah ulama, mereka kuasai penyakit. Doktor yang sakit jarang diperiksa untuk disembuhkan. Oleh kerana itu, penyakit bertambah teruk dan tenat."

Oleh itu, kerosakan negara, masyarakat dan organisasi berpunca daripada kesilapan kalian dalam menanganinya. Jawapan nasihat kelima, nasihat kepada kaum Muslimin secara umum. Menasihati mereka kepada perkara kebaikan, jangan khianati mereka dalam segala bentuk hubungan. Golongan nabi menjadi penasihat kepada kebaikan, seperti Nabi Nuh nasihat kepada kaumnya, sebagaimana dirakamkan dalam Surah Al-A'raf ayat 68.

Begitu juga saling menasihati sesama umat Islam agar menjauhi bidaah. Sebagaimana kata Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi: "Jika manusia menambah dan mengurangi perkara agama maka dia akan menghilangkan agama itu sendiri di tengah masyarakat sampai akhirnya agama itu menjadi asing di tengah masyarakat. ALLAH membenarkan manusia kreatif, prestasi dan inovasi dalam urusan dunia, bukan kreatif dalam bidang agama. Kalau dalam urusan agama seseorang hendaklah pasrah dan komitmen dengan batasannya untuk urusan akhirat."


0 comments:

share2