Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 23, 2017

KEMBALIKAN MARUAH HARIMAU MALAYSIA!


Kembalikan maruah Harimau Malaysia!


"RANKING tidak penting !". Itu kata bekas ketua jurulatih bola sepak negara, Datuk K Rajagobal kira-kira lima tahun lalu ketika menyifatkan prestasi skuad negara tidak boleh diukur dengan angka ranking semata-mata.

Kenyataan Rajagobal itu memang tidak masuk akal. Ramai terkejut kerana dikeluarkan daripada mulut seorang ketua jurulatih.

Tetapi ramai lebih terkejut apabila Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) hanya mendiamkan diri dan tidak ingin memecatnya.

Mengikut rekod Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), kedudukan Malaysia bagi 1993 adalah di ranking ke-79. Itu antara rekod terbaik bawah angka 100.

Namun bermula 1998, pasukan kita bukan sahaja tidak dapat lagi berada di angka bawah 100, malah prestasi merosot setahun demi setahun. Kedudukan paling teruk dan memalukan ialah pada 2016 iaitu di ranking ke-174.

Terkini, sehingga 9 Mac lalu, pasukan Harimau Malaysia berada diranking ke-161 daripada 205 negara yang berada dalam senarai Fifa.

Jadi, apakah masih ada harapan untuk kita memperbaiki kedudukan daripada terus menjunam? Sanggupkah kita kekal sebaris dengan negara-negara lain yang kurang popular seperti Aruba (ranking ke-160) ataupun Nepal (ranking ke-170)?

Dalam usaha tercari-cari hala tuju dan kebangkitan mutu bola sepak negara, pemilihan jawatankuasa baharu badan induk FAM bagi penggal 2017-2021 pada Sabtu ini seakan-akan menyuntik semangat baharu kepada peminat bola sepak.

25 Mac 2017 bakal menjadi sejarah menyaksikan FAM dipimpin oleh seorang presiden baharu yang diharapkan dapat membawa pembaharuan dan perubahan demi memartabatkan semula bola sepak negara.

Semua peminat bola sepak di seluruh negara sememangnya sudah lama bersabar menantikan seorang presiden FAM yang benar-benar berusaha mahu meningkatkan mutu bola sepak negara.

Pemilihan jawatan presiden ini berlangsung, ekoran Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menarik diri daripada mempertahankan jawatannya untuk memberi ruang kepada kepimpinan baharu. Ayahandanya, Sultan Ahmad Shah menjadi presiden paling lama iaitu selama 30 tahun (1984-2014).

Untuk jawatan presiden, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan pencalonannya dan akan berdepan dengan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa.

Dua lagi calon yang dinamakan sebelum ini, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Belia dan Sukan serta bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat tidak mengesahkan pencalonan mereka sehingga tempoh pencalonan ditutup.

Sementara bagi jawatan dua timbalan presiden bakal menyaksikan pertembungan antara empat calon, manakala sembilan calon akan bertanding bagi empat jawatan naib presiden.

Sama ada TMJ ataupun Annuar dipilih menjadi presiden, ia sememangnya membuka satu lembaran baharu kepada dunia bola sepak Malaysia. Ketokohan mereka berdua telah terbukti dengan membawa kejayaan kepada persatuan negeri masing-masing.

Di bawah kepimpinan TMJ, pasukan JDT kini digeruni setelah menjuarai Liga Super selama tiga tahun berturut-turut iaitu 2014, 2015 dan 2016 malah pada 2015, menjadi pasukan pertama dari Asia Tenggara yang menjuarai Piala AFC.

JDT turut melakar sejarah apabila tahun ini menjadi pasukan pertama dari Malaysia mara ke saingan playoff pusingan ketiga Liga Juara-Juara AFC walaupun ditewaskan 0-3 dengan kelab gergasi Jepun, Gamba Osaka.

Manakala Annuar juga tidak kurang hebatnya dengan membawa TRW meraih kejuaraan Piala Malaysia pada 2010 dan 2012 serta Piala FA pada 2012 dan 2013.

Presiden baharu tentunya mempunyai misi tersendiri. Begitulah harapan kita kepada TMJ ataupun Annuar sekiranya terpilih kelak. Kita percaya, TMJ dan Annuar ingin melihat kedudukan ranking kita dinaikkan secepat yang mungkin.

Memetik kata Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM), Hairuddin Omar, “Kalau kita mahu majukan bola sepak dengan lebih serius, arena bola sepak harus berubah secara keseluruhan, terutama dari segi liga dan pembangunan pemain muda.

“Semua penyokong bola sepak mahu perubahan, saya harap kita dapat melihat transformasi besar berlaku dalam bola sepak Malaysia selepas ini,” katanya.

Mutu bola sepak Malaysia ternyata jauh ketinggalan. Ini perlu diakui semua pihak dan mesti diatasi segera. Kita tidak mahu presiden baharu sekadar pegang jawatan tanpa ada sebarang usaha dan perancangan.

Seluruh peminat bola sepak negara sekian lamanya dahagakan pemain yang menyarung jersi kebangsaan mempamerkan semangat juang tinggi dalam memburu kejayaan.

Kita masih ingat lagi bagaimana aksi bekas-bekas pemain kebangsaan pada era lewat 60-an hingga awal 80-an. Perasaan bangga mewakili negara sentiasa terpahat dalam jiwa mereka.

Pasukan kebangsaan ketika itu bukan sahaja digeruni sebagai antara pasukan handalan di rantau Asia, malah kita cukup kagum dengan kesungguhan pemain-pemain ketika beraksi tanpa mementingkan imbuhan dan penghargaan.

Sebagai presiden baharu, segala kelemahan dalam FAM perlu diubah dan diperbaiki. Kita telah mensia-siakan masa puluhan tahun dan jutaan ringgit untuk membentuk pasukan yang handal lagi dihormati.

Pemain-pemain kebangsaan seharusnya sedia berkorban. Kita tahu mereka sanggup bermain bermati-matian untuk kelab atau negeri masing-masing, tetapi tidak kepada negara. Mereka tahu gaji dan rezeki mereka bergantung pada liga tempatan, bukan untuk negara.

Namun sebagai pemain yang dipilih wakili negara, mereka harus sedar maruah negara jauh lebih bernilai daripada wang ringgit.

Selain soal semangat, seluruh peminat bola sepak juga sedar sejauh mana tahap mutu permainan pasukan kebangsaan.

Daripada skil individu hinggalah kepada taktikal yang digunakan, tetap tiada apa-apa yang boleh dibanggakan.

Ketika di padang, pemain-pemain kita mudah hilang bola. Ini disebabkan pertama, tidak cekap kawal bola dan kedua, gagal memberi hantaran tepat kepada rakan.

Akibatnya, kelemahan individu inilah menyebabkan kita gagal mempamerkan permainan dengan tersusun sehingga sukar membolosi gawang lawan.

Sepanjang tahun 90-an hingga hari ini, pasukan negara sentiasa dimalukan oleh pasukan-pasukan handalan di rantau Asia seperti Korea, Jepun dan beberapa negara Asia Barat.

Pelbagai pertandingan antarabangsa seperti peringkat kelayakan Piala Dunia, Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Piala Asia, yang kita sertai semuanya kecundang dan ditunjukkan jalan keluar awal-awal lagi.

Malah, ketika bersaing pada pertandingan Piala AFF Suzuki ataupun Sukan Sea, hendak kalahkan Thailand, Vietnam, Filipina dan Indonesia pun terpaksa bermain sehingga 'separuh mati'. Kita tidak pernah menampilkan diri kita sebagai pasukan handalan di rantau Asia Tenggara. 

Sepanjang hampir 20 tahun lamanya, Harimau Malaysia hilang taring, tidak bertenaga dan menjadi pasukan belasahan. Selama dua dekad ini juga, pemain dan jurulatih silih berganti, latihan dan perlawanan persahabatan banyak diatur di luar negara. Hasilnya? Sekadar gah dalam liga tempatan sahaja!

Kita beri peluang kepada pengurusan baharu FAM selama lima tahun akan datang bagi membuktikan kemampuan mereka. Tetapi bagaimana sekiranya pada 2021, kedudukan kita masih di ranking ke-161 seperti hari ini?

Mungkin hanya satu jalan boleh dipilih, iaitu seluruh ahli jawatankuasa FAM daripada jawatan presiden hingga kepada barisan exconya membuat keputusan sama - letak jawatan - untuk beri peluang barisan pemimpin lebih berwibawa.


0 comments:

share2