Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 23, 2017

JERANGKAP SAMAR ERA KONFLIK HANTUI PENDUDUK SEMPADAN


Jerangkap Samar Era Konflik Hantui Penduduk Sempadan


Buachet – Setiap hari, penduduk kampung terpencil di sempadan Thailand-Kemboja ini berdepan dengan
kemungkinan kehilangan nyawa atau anggota tubuh apabila mereka melangkah keluar dari rumah masing-masing.

Kemungkinan menggerunkan ini terpaksa mereka hadapi berikutan wujudnya beribu-ribu jerangkap samar dan kelengkapan tidak meletup (UXO) peninggalan konflik yang melanda kawasan itu selama beberapa dekad.

“Walaupun konflik itu berlaku beberapa dekad lepas, namun terdapat jerangkap samar dan kelengkapan tidak meletup yang masih aktif dan mengancam kehidupan penduduk tempatan, di samping menghalang usaha kerajaan untuk membangunkan ekonomi tempatan, kata Presiden Civilian Deminer Association (TDA), Amornchai Sirisai kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Sekumpulan petugas media tempatan dan antarabangsa dijemput menyaksikan usaha pasukan TDA mematikan jerangkap samar dan UXO di satu kawasan jauh ke dalam hutan di Buachet dalam wilayah Surin, enam jam perjalanan dengan kereta dari Bangkok, yang pernah menyaksikan perebutan sengit suatu ketika dulu.

Menurut Amornchai, setiap hari, ada penduduk kampung berkenaan yang maut atau terpijak jerangkap samar yang ditinggalkan, dengan enam kejadian direkodkan tahun lepas, termasuk seorang lelaki mati serta-merta kerana terpijak jerangkap samar antikereta kebal ketika bekerja di ladangnya.

“Setakat ini, jerangkap samar dan Kelangkapan Letupan Tinggalan Perang (ERW) telah mengakibatkan nahas kepada kira-kira 3,500 orang,” katanya.

Beliau berkata hakikat bahawa Thailand juga menjadi mangsa jerangkap samar boleh dikatakan tidak banyak diketahui dunia luar, berbanding keadaan serupa yang dihadapi Kemboja, Vietnam dan Laos, yang dilaporkan dengan meluas.

Menurut Amornchai, setakat 3 Mac tahun ini, lebih kurang 422.6km persegi negara ini, khususnya kawasan di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja, masih dicemari jerangkap samar dan UXO.

Beliau berkata kawasan yang masih dicemari jerangkap samar dan kelengkapan tidak meletup itu tidak dapat dibangunkan ekonominya, sekali gus menghalang usaha kerajaan untuk menambahbaik kehidupan rakyat.

“Usaha kerajaan untuk meningkatkan aktiviti anggota masyarakat di kawasan sempadan terjejas apabila beribu-ribu jerangkap samar dan pelbagai kelengkapan tidak meletup lain terus membahayakan nyawa penduduk setempat,” kata Amorchai.

Untuk mengatasi halangan ini, TDA dengan kerjasama Pusat Tindakan Periuk Api Thailand (TMAC) Angkatan Tentera Diraja Thailand giat membersihkan kawasan berkenaan, terutama di sepanjang sempadan Kemboja, daripada jerangkap samar.

Bermula April 2014 hingga September 2015, dengan bantuan kewangan sebanyak AS$473,055 yang diterimanya daripada kerajaan Jepun melalui Dana Integrasi Jepun-ASEAN (JAIF), TDA menemukan serta mengalihkan 2,729 jerangkap samar dan UXO di Wilayah Surin.

“Kami sudah menyerahkan kembali tanah seluas kira-kira 2,445,513 meter persegi kepada rakyat untuk mereka menggunakannya bagi meraih manfaat ekonomi. Sejak itu, tidak berlaku sebarang kejadian berkaitan jerangkap samar di tempat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, berikutan kejayaan itu, kerajaan Jepun memberi bantuan kewangan tambahan sebanyak AS$806,275 melalui JAIF untuk melaksanakan satu lagi usaha pembersihan jerangkap samar di Wilayah Sa Kaeo dan Wilayah Surin.

Menurutnya, setakat 28 Feb 2017, projek diberi nama ‘Pembersihan Jerangkap Samar Bersepadu Bagi Menggalakkan Ekonomi Merentas Sempadan’ itu menemukan 2,971 lagi jerangkap samar dan kelengkapan tidak meletup serta menyerahkan kawasan seluas 326,866 meter persegi kepada penduduk tempatan.

Beliau berkata kawasan sempadan Chong Chom berhampiran Buachet, yang suatu ketika dahulu merupakan kawasan larangan bagi penduduk tempatan berikutan kewujudan jerangkap samar dan UXO, kini maju dari segi ekonomi setelah projek pembersihan jerangkap samar selesai dilaksanakan.

“Penduduk tempatan meraih manfaat ekonomi apabila kawasan itu berjaya dibersihkan daripada jerangkap samar dan kelengkapan tidak meletup. Ini memberi suatu kepuasan besar kepada saya,” katanya.


0 comments:

share2