Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 3, 2017

KEKALKAN TRADISI NENEK MOYANG


Kekalkan tradisi nenek moyang


Machang - Walaupun sudah lebih 20 tahun ditubuhkan, namun Kumpulan Yasin Mukim Kampung Pek terus digilap dan disemarakkan dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat.

Mempunyai keahlian lebih 100 orang, kumpulan itu bergerak dari rumah ke rumah pada setiap hujung minggu mengikut permintaan orang ramai, sekali gus mengekalkan tradisi nenek moyang yang diwujudkan sejak berpuluh tahun lalu.

Pengerusi Masjid Mukim Pek, Che Hamzah Che Ismail berkata, kumpulan yang disertai golongan wanita itu tidak hanya melibatkan kampung sekitar Mukim Pek, tetapi juga kampung berdekatan.

Katanya, program keagamaan seumpama itu sudah jarang dapat dilihat pada hari ini, namun mukim itu berjaya mengekalkan tradisi nenek moyang sejak ditubuhkan pada 1996.

“Tradisi yang baik dan bermanfaat seperti kumpulan Yasin ini perlu dikekalkan, yang mana bukan sahaja mengajak orang ramai membudayakan amalan membaca al-Quran tetapi juga mengukuhkan hubungan antara masyarakat.

“Penduduk khususnya wanita meluangkan masa dengan membaca al-Quran adalah satu amalan baik dan perlu disemarakkan dengan membabitkan belia,” katanya pada Majlis Bacaan Yasin Perdana Mukim Kampung Pek di Masjid Mukim Pek, kelmarin.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi.

Majlis bacaan Yasin yang disertai kira-kira 600 wanita dari Mukim Pek dan kawasan sekitar itu diketuai Datin Hasnah Salleh.

Che Hamzah berkata, program itu bertujuan menyemarakkan kumpulan tersebut selepas lebih 20 tahun menabur bakti kepada masyarakat.

Katanya, majlis itu sebagai tanda penghargaan kepada kumpulan tersebut yang aktif bergerak di kampung terutamanya membabitkan penduduk sakit, kematian dan sebagainya.

“Kita mungkin melihat kumpulan ini sebagai perkara biasa memandangkan ia bergerak sejak berpuluh tahun lalu, namun kita lupa, jasa dan khidmat yang ditaburkan oleh ahli-ahlinya.

“Mereka tidak pernah menolak undangan penduduk sama ada di majlis keramaian, ada kematian dan orang sakit. Bukan mudah untuk mengekalkan kumpulan yang berbentuk kemasyarakatan selama 20 tahun dan ia wajar dipuji,” katanya.


0 comments:

share2