Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, March 26, 2017

JUMLAH PEMBAYAR PTPTN DIJANGKA TERUS MENINGKAT


Idris (tengah) sambil diperhatikan Ayub (kiri) semasa menyempurnakan gimik perasmian Majlis Kongres


Pasir Gudang - Kementerian Pendidikan Tinggi yakin jumlah peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menjelaskan hutang mereka terus bertambah pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, keyakinan itu disandarkan berikutan pencapaian prestasi kutipan yang diperoleh PTPTN pada tahun lalu.

Menurutnya, PTPTN mensasarkan kutipan yang diraih pada tahun lalu sebanyak RM2 bilion, namun jumlah kutipan yang diterima adalah RM3.4 bilion pada 2016.

"Kita faham ada 200,000 pelajar yang meminjam PTPTN setiap tahun, jika tiada PTPTN mereka akan berdepan masalah untuk meneruskan pengajian mereka.

"Manakala, pada tahun ini, PTPTN mensasarkan prestasi kutipan mereka sebanyak RM4 bilion, namun kita yakin jumlah kutipan akan terus bertambah.

"Ini menunjukkan bahawa ramai peminjam boleh membayar hutang mereka berikutan jumlah kutipan juga telah bertambah baik. Kita juga cuba lihat perkara ini dari sudut positif," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Kongres Duta Jauhar 3.0 di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Universiti Sains Malaysia (USM) dinobat sebagai Anugerah Permata Duta Jauhar 3.0 menerusi Projek Rintis Bersama Melakukan Perubahan, Pusat Cucian Kereta Bergerak yang membawa pulang dana RM5,000 serta piala pusingan serta piala individu.

Hadir sama; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat dan Pengerusi UniKL, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Semalam, dilaporkan sebanyak 586,863 peminjam PTPTN sudah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen sehingga 31 Januari lalu.

Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff berkata, perkara itu membabitkan jumlah pinjaman bernilai RM11.6 bilion.

Sementara itu, mengulas mengenai tiga pelajar universiti awam di Serdang yang ditahan kerana memiliki dadah Khamis lalu, Idris berkata, kementerian tidak akan bertolak ansur berhubung kes itu.

"Ketiga-tiga pelajar itu sudah digantung pengajian dan pihak universiti sememangnya mempunyai kawalan ketat bagi mencegah sebarang aktiviti jenayah yang tidak sihat," katanya.

Terdahulu, kesemua mereka berusia 22 tahun ditahan dalam satu serbuan di sebuah bilik asrama di universiti berkenaan bersama ganja seberat 1.2 kilogram dianggarkan RM2,500.


0 comments:

share2