Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, March 26, 2017

[JERANTUT] HIDUPKAN TRADISI NEGERI CIK SITI WAN KEMBANG


Hidupkan tradisi negeri Cik Siti Wan Kembang


Majoriti penduduk Kampung Damak di sini berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang dan kebanyakan mereka bertutur menggunakan loghat Kelantan.

Meskipun berada di negeri Pahang dan sebilangannya sudah menetap lebih 50 tahun, namun budaya dan tradisi Kelantan tidak pernah ditinggalkan.

Malah, permainan wau yang menjadi tradisi masyarakat Kelantan menjadi hobi pilihan penduduk kampung itu untuk mengisi masa lapang.

Antara individu yang dipertanggungjawabkan membawa permainan wau ke Jerantut khususnya ke kampung itu ialah Arifin Hamzah, 63.

Arifin yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, berhijrah dan menetap di Kampung Damak sejak 35 tahun lalu dan menjadikan seni pembuatan wau sebagai sumber pendapatan sampingan selain melakukan kerja-kerja kampung.

Menurut Arifin, dia mempelajari pembuatan wau daripada kedua ibu bapanya, dan minatnya yang mendalam membuatkannya membawa permainan tradisional Kelantan itu ke negeri Tok Gajah ini.


Buka kelab wau

Arifin turut mengajak seorang lagi penduduk yang juga berasal dari Kelantan namun menetap di Kampung Damak sejak lebih 50 tahun lalu, Zakaria Omar, 70, untuk sama-sama mengembangkan permainan itu di kampung terbabit.

Bermula dengan hanya berdua, akhirnya wau semakin mendapat tempat dalam kalangan penduduk sehingga tertubuhnya Kelab Wau Kampung Damak yang kini memiliki keahlian lebih 30 orang.

Kelab yang dipengerusikan Zakaria turut menganjurkan pertandingan wau tertinggi dan wau tercantik dengan menawarkan hadiah yang agak lumayan mendapat sambutan penduduk setempat dan menjadi acara tahunan semenjak lima tahun lalu.

Meskipun ia mendapat sambutan, namun tidak ramai yang pandai membuat wau tercantik atau wau sobek sebagaimana wau milik Arifin.


Terima tempahan

Arifin memberitahu, dia sering menerima tempahan daripada penduduk sekitar sehinggakan ada antara mereka yang menempah wau untuk dijual ke negeri lain.

Arifin berkata, terdapat pelbagai jenis wau seperti wau bulan, wau daun atau wau leper, wau layang, wau roket, wau burung dan sebagainya.

Katanya, dia mahir membuat apa juga jenis wau yang diminta oleh pelanggan.

“Saya sendiri ada simpan 12 wau sebagai koleksi, dua daripadanya sering mendapat tempat pertama dan kedua dalam pertandingan wau paling cantik,” katanya.

Lebih menarik, Arifin membuat wau hanya menggunakan parang selain hiasan dibuat hasil kreativiti sendiri.

Katanya, jika di Kelantan, pelbagai alatan khas untuk menghias wau dikenali sebagai alat untuk sobek dijual justeru pembuatan wau di Kelantan jauh lebih cantik dan teliti.

“Alat untuk sobek itu memudahkan kita membuat corak pada wau kerana kita hanya perlu tekapkan corak pada kertas hiasan,” katanya.


Perlu ketelitian

Menurutnya lagi, membuat wau juga memerlukan ketelitian dari sudut ukuran kerana jika tidak diukur dengan elok, wau dikatakan tidak akan naik secara menegak.

“Setiap kepanjangan tulang belakang, kepala, sayap, ekor dan tanduk perlu diukur dengan teliti. Malah, ketika meraut buluh juga perlu ditimbang,” katanya.

Buluh yang telah siap diraut dengan parang akan diletakkan di atas bilah belakang parang di tengah-tengah buluh itu dan sekiranya ia tidak seimbang atau berat sebelah, belah yang berat akan diraut lagi untuk mendapatkan berat yang seimbang.

“Tidak ramai yang pandai buat wau. Anak saya ada 10 orang dan seorang saja yang boleh buat wau. Nak buat wau kena belajar dulu, kalau tak belajar tak boleh buat,” katanya.

Katanya lagi, kebiasaannya dia akan menggunakan buluh betong untuk membuat wau pelbagai saiz di mana saiz paling kecil dijual sekitar RM50 manakala wau besar boleh mencecah sehingga RM300.

Selain pandai membuat wau, Arifin sendiri pernah menjadi pengadil untuk pertandingan wau tertinggi terbang ke langit di mana dikatakan untuk menilai ketinggian wau itu perlu melalui proses yang agak unik.

Katanya, tempoh penetapan masa untuk mengukur ketinggian wau yang terbang menggunakan sebiji tempurung kelapa berlubang di tengahnya yang diletakkan dalam baldi yang dipenuhi air.

Seorang lagi pengadil dipertanggungjawabkan untuk menjaga wau yang didirikan pada sebatang paku di mana sebaik tempurung tenggelam sepenuhnya, wisel akan dibunyikan dan pengadil akan ‘menangkap’ wau yang terbang paling tinggi.

“Bagi yang sudah biasa dengan pertandingan wau ini, mereka akan faham bagaimana ketinggian wau itu dinilai,” katanya.


Dapat perhatian pemimpin setempat

Zakaria pula berkata, selaku pengerusi Kelab Wau Kampung Damak, dia berhasrat untuk mengetengahkan lagi permainan wau itu di mana dikatakan permainan itu kini telah mendapat perhatian pemimpin setempat.

“Kami selalu juga menyertai pertandingan di daerah lain seperti di Jengka. Kalau tak ada pertandingan, kami masih bermain wau pada masa lapang bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.

Bercerita lanjut tentang pertandingan wau yang diadakan setiap tahun, Zakaria berkata, kebiasaannya pertandingan itu diadakan pada bulan Mei memandang cuaca pada bulan itu dikatakan paling sesuai untuk bermain wau.

“Bergantung juga pada keadaan cuaca. Namun setiap kali kami anjurkan pertandingan ini, pasti ramai penduduk kampung yang akan datang tengok.

“Malah ia juga dapat perhatian penduduk kampung yang berjiran dengan kampung kami dan mereka turut tertarik dengan permainan ini,” katanya.


0 comments:

share2