Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 14, 2017

DOA IBU TEMUI JASAD ANAK TERMAKBUL


Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia


Lumut - "Dia memang seorang anak yang baik dan suka menghadiahkan barangan kepada saya dan bapanya.

"Baru-baru ini dia hadiahkan saya gelang emas dan beg tangan," kata Muniroh

Muhammad ketika bercerita mengenai anaknya Khairolafni Ahmad Ghani yang lemas di laut ketika memancing dekat Pulau Pangkor.

Muniroh, 58, berkata, kali terakhir dia menemui anak keempat dari 13 beradik itu pada 3 Mac lalu. 

Katanya, mangsa sempat menghadiahkan seutas gelang emas itu sebelum bergerak ke Lumut untuk memancing.

Jasad Khairolafni ditemui kira-kira lima batu nautika dari barat laut Pulau Pangkor, di sini, jam 8.45 pagi tadi.

Muniroh berkata dia redha dengan kejadian yang menimpa anaknya, Khairolafni, 31, dan cuma berharap jasadnya ditemui segera. 

"Setiap hari saya membuat solat hajat dan berdoa supaya mayatnya ditemui dan sekurang-kurangnya dia tidak berkubur di laut.

"Alhamdulillah dia ditemui malah mayatnya masih dalam keadaan baik biarpun telah lebih seminggu di dalam laut," kata ibu itu ketika ditemui di Jabatan Forensik di Hospital Seri Manjung di sini.

Khairolafni terjatuh dari bot yang dinaikinya di tujuh batu nautika selatan Pulau Pangkor ketika dalam perjalanan untuk melakukan aktiviti memancing bersama lapan rakannya yang lain pada hari tersebut.

Menceritakan kembali detik kejadian, tekong bot, yang hanya mahu dikenali sebagai Shah, berkata dia memberhentikan segera bot yang dipandunya sebaik diberitahu mangsa terjatuh ke dalam laut.

Shah, 32, berkata dia kemudiannya mendapatkan pelampung sebelum berenang ke lokasi Khairolafni dilihat terkapai-kapai kira-kira 100 meter dari bot tersebut. 

"Saya memang sudah dekat dengan mangsa namun sebaik saya mahu memegangnya, Khairolafni tiba-tiba tenggelam dan tidak muncul ke permukaan air.

"Saya cuba menyelam namun usaha menyelamatkannya gagal malah keadaan laut yang bergelora dan angin kencang menyebabkan saya hilang tenaga," katanya.

Sementara itu, Pengarah Maritim Daerah 3 Lumut Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata, pihaknya menerima maklumat daripada nelayan tempatan yang ternampak jasad terapung kira-kira pukul 8.45 pagi tadi.

Kapal Maritim (KM) Tugau dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan dari pakaian mayat tersebut, adalah dipercayai mangsa ialah Khairolafni Mohd Ghani," katanya dalam satu kenyataan di sini.


0 comments:

share2