Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 27, 2017

[BENTONG] HAJAT NAIK KERETA TIADA BUMBUNG TERCAPAI


Hajat naik kereta tiada bumbung tercapai


Hajat seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser darah ingin menaiki sebuah kereta yang tidak berbumbung tercapai selepas dua buah kelab Mercedes Benz bergabung merealisasikan impian tersebut.

Radiatul Qaisara Muhammad Heshamuddin, 10 yang disahkan menghidap penyakit ‘Acute Lymphoblastic Leukemia sejak 2011 telah menerima kunjungan daripada Hulu Langat Benzer Community dan Eastern Benzer telah membawa kanak-kanak tersebut dari rumahnya ke Restoran Lemang Toki menggunakan kenderaan tersebut di sini.

Ayahnya, Mohd Heshamuddin Hassan, 48 berkata anaknya itu sudah terlalu lama ingin menaiki sebuah kereta yang tidak berbumbung sejak Radiatul dari umur 5 tahun lagi sehinggalah sekarang.

Namun, menurutnya, dia tidak mampu untuk menunaikan hajat anaknya kerana kenderaan tersebut sangat mahal untuk menyewanya apatah lagi membelinya.

“Anak saya, Radiatul amat menyukai kereta yang tidak berbumbung semenjak dia kecil lagi sehinggalah sekarang.

“Apabila kami sekeluarga berjalan dan terlihat kereta ini di atas jalan raya, Radiatul pasti akan melihat kereta itu dan berkata kepada kami yang dia nak sangat naik kereta itu,”katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini.

Sementara itu, ditanya mengenai penyakit Radiatul, Ibunya, Rohani Rashid, 44 berkata setiap bulan, Radiatul perlu menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang menyebabkan dia yang riang akan bertukar lemah dan kurang ceria setiap kali rawatan.

Menurutnya, walaupun terpaksa berulang alik dari Karak ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas namun demi kesihatan anak kesayangan mereka sanggup berkorban.

Tambahnya, walaupun menerima sumbangan wang zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun ia masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan perubatannya.

Sementara itu, Pengerusi Eastern Benzer, Mohd Sayfunlizam Md Salleh berkata kami gembira dan bersyukur kerana dapat merealisasikan impian kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser tahap 4 itu.

Menurutnya, program ini dilaksanakan segera kerana bagi pihaknya impian kanak-kanak tersebut sudah terlalu lama dan perlu dilaksanakan dan ditunaikan.

“Diharap agar ada pihak lain yang sudi membantu adik ini supaya dia bebas dari penyakit tersebut dan kami sentiasa mendoakan agar adik Radiatul cepat sembuh dan kembali riang seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Sesiapa yang ingin menyumbang boleh menghubungi talian 0179747486 atau melalui akaun Agro Bank 2006142000028570.

0 comments:

share2