Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 15, 2017

[TEMERLOH] RAYU KERAJAAN LULUS PERMOHONAN


Rayu kerajaan lulus permohonan


Pasangan warga emas berasal dari Pekanbaru, Indonesia merayu permohonan untuk memiliki taraf pemastautin tetap (PR) segera diluluskan memandangkan mereka kini uzur dan tidak mampu lagi berulang alik ke Putrajaya untuk tujuan itu.

Usman Rashid, 60, dan isteri Desmawati Mat Asir 59, yang menetap di negara ini sejak 37 tahun lalu telah menunggu begitu lama untuk mendapatkan taraf PR daripada kerajaan namun permohonannya masih gagal tanpa diketahui puncanya.

Menurut Usman, semua prosedur berkaitan sudah dipatuhi tetapi jawapan yang diterima daripada pegawai Jabatan Imigresen hanyalah tunggu dan tunggu.

“Saya sudah berpuluh kali ulang alik ke Putrajaya untuk menyelesaikan masalah ini, malah sebelum adanya Pusat Pentadbiran Putrajaya lagi saya dan isteri sudah memohon taraf kerakyatan ini iaitu sejak 1995.

“Kos untuk ulang alik ke sana ketika ini adalah RM300 tidak termasuk makan dan belanja lain, mana kami mampu lagi, kami bukan ada kereta sendiri terpaksa sewa teksi.

“Dulu saya menoreh sekarang sejak kena strok memang tidak mampu buat apa-apa kerja lagi, isteri saya juga hidap penyakit buah pinggang,” katanya sewaktu ditemui di rumah sewanya di Kampung Contoh, Paya Pulai Tengah di sini semalam.

Usman berkata, dia datang ke Malaysia bersama isteri pada 1980 dan menetap di Chenor dengan menyewa sebuah rumah di sebuah kampung di sana.

Menurutnya, pada 1981 dia menimang cahaya mata pertama hinggalah sekarang dia mempunyai 11 anak yang semuanya dilahirkan di negara ini.

“Dua anak saya ada Mykad tetapi ada tempoh masa yang ditetapkan, sembilan yang lain hanya ada surat beranak, kami sampai sekarang masih menggunakan pasport.

“Sejak datang ke sini saya dan isteri tidak pernah pulang ke Indonesia kerana sudah menganggap Malaysia adalah tanah air kami, hanya sekali kami pulang selepas diarahkan Imigresen untuk memperbaharui pasport yang mati beberapa tahun lalu.

Sementara itu Desmawati berkata, mereka berdua sangat mengharapkan kerakyatan negara ini atau sekurang-kurangnya dengan memiliki taraf PR.

Menurutnya, sekarang kehidupan mereka sekeluarga banyak kurangnya disebabkan gagaal mendapatkan banyak kemudahan sebagai rakyat Malaysia.

“Kami sudah dapatkan surat sokongan daripada ramai wakil rakyat termasuk, menteri dalam negeri, menteri besar, Adun dan pemimpin tempatan tetapi masih belum mendapat kelulusan PR.

“Saya sakit buah pinggang hanya makan ubat kampung seperti akar kayu dan lain-lain sebab untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan bil sangat tinggi sebagai bukan warganegara.

“Kami rayu kepada kerajaan untuk segera meluluskan permohonan kami yang sudah semakin uzur dan sudah hampir 40 tahun menetap di negara ini,saya harap ada pihak hubungi kami untuk selesaikan masalah ini di nombor 017-9444201,” katanya.


0 comments:

share2