Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 23, 2017

[TEMERLOH] ‘HARAP TAHUN DEPAN DAPAT LAGI'


‘Harap tahun depan dapat lagi’


Walaupun pelbagai isu timbul berhubung program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tetapi rata-rata penerima daripada masyarakat berbilang kaum termasuk Orang Asli menyifatkan program itu perlu diteruskan dari semasa ke semasa.

Seorang penerima, Othman Bakar, 62, berkata, pemberian bantuan wang tunai berkenaan amat dinantikan kerana dapat meringankan beban kos sara hidup.

“Saya orang susah dan hanya harapkan kerja menoreh getah yang tak seberapa, jadi bantuan pemberian wang tunai ini amat bernilai dan bermakna bagi saya.

“Bantuan ini saya akan gunakan untuk beli barangan keperluan harian keluarga,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan BR1M peringkat Parlimen Temerloh di Dewan Sri Mentakab di sini, semalam.

Pada majlis itu, Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang merangkap Adun Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menyerahkan bantuan itu kepada 851 penerima berbilang kaum.

Ting Moi Choon, 61, pula berkata, bantuan yang tidak mengira kaum, agama dan juga fahaman politik itu jelas bermatlamat membantu rakyat yang memerlukan.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana laksanakan program bantuan ini yang dapat berikan saya sumber pendapatan untuk menyara kehidupan,” katanya. 

Penerima Orang Asli, Bohari Kapot, 46, berkata, pemberian itu bantu meningkatkan pendapatan masyarakat Orang Asli yang kebanyakannya bekerja sendiri di kawasan luar bandar.

“Saya harap tahun depan kami akan terima lagi bantuan ini, dapatlah saya guna untuk beli keperluan harian dan juga keperluan anak-anak,” katanya yang menetap di Kampung Sungai Leleh, Lanchang di sini.

Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, bantuan yang diberikan itu jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membantu rakyat.

Katanya, ia sekali gus membuktikan bahawa tohmahan ke atas program itu adalah tidak benar dan ia sebenarnya diterima baik oleh masyarakat akar umbi.


0 comments:

share2