Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 20, 2017

PENGGUNAAN JERIJI KEKAL TIDAK DIGALAKKAN




Penggunaan jeriji kekal tidak digalakkan


Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak menggalakkan pemasangan jeriji kekal pada tingkap dan pintu kediaman.

Ketua Cawangan Pendaftaran Keselamatan Kebakaran, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Khair Osman berkata, jeriji berisiko kepada penghuni sekiranya berlaku kecemasan daridalam rumah.

“Beberapa nasihat dan penulisan dibuat agar pemasangan jeriji di kediaman mestilah selamat kepada penghuninya. Terdapat banyak kes kematian akibat kebakaran rumah disebabkan jeriji kekal.

“Boleh dikatakan kebanyakan premis dan kediaman kini menggunakan jeriji kekal dan keadaan ini membimbangkan. Sekiranya perlu, pemasangan jeriji ini mestilah mempunyai tatacara membuka tanpa kunci dan mudah dibuka dari dalam premis ketika kecemasan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pemasangan tersebut dicadangkan sekiranya kos pemasangan dan penyelenggaraan tidak membebankan.

“Dinasihatkan juga supaya mana-mana pihak yang mahu memasang jeriji mendapat nasihat pegawai jabatan bomba. Reka bentuknya juga penting bagi memudahkan akses keluar. “Jika pemasangan dengan kunci diperlukan, tatacara pembukaannya mestilah mudah dilakukan oleh semua peringkat umur dan golongan,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, belum ada peruntukan undang-undang bagi tatacara pemasangan jeriji di kediaman.

“Bagaimanapun pihak bomba berkolaborasi bersama pihak berkaitan bagi memastikan ada kata sepakat berkenaan pemasangan jeriji ini.

“Pihak bomba sentiasa memberikan penerangan berkaitan penggunaannya bagi meningkatkan tahap kesedaran orang ramai," katanya.

Jelasnya, dalam situasi kebakaran, mangsa kebanyakannya meninggal disebabkan asap.

“Ketika kebakaran rumah, asap menghasilkan gas beracun dan mangsa menemui ajal apabila menghidunya.

“Sebab itu kita mahu rumah mempunyai jeriji selamat yang boleh dibuka dari dalam sekiranya berlaku kecemasan. Sekiranya statik, mustahil untuk kita buka jeriji itu dengan mudah,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak hanya memikirkan soal keselamatan harta benda semata-mata, tetapi aspek keselamatan nyawa.

“Ramai orang takut pencuri masuk dalam rumah tetapi tidak semua risau sekiranya berlaku kecemasan seperti kebakaran.

“Sebab itu wujudnya jeriji selamat yang boleh di buka dari dalam yang dihasilkan dari titik pertemuan antara aspek safety and security ini,” katanya.


0 comments:

share2