Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 10, 2017

[MARAN] SMA HARAP BANGUNAN BARU CEPAT DIBINA SEMULA


SMA harap bangunan baru cepat dibina semula


Pihak Sekolah Menengah Agama Maran di sini, mengharapkan pembinaan semula bangunan asrama puteri yang hangus terbakar dalam kejadian 7 Februari lalu, dapat disegerakan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), Datuk Shahaimi Osman berkata, pihak sekolah juga berharap pembinaan itu nanti bukan sahaja menggantikan bangunan lama yang sudah terbakar sebaliknya meliputi bangunan asrama bertingkat yang dapat menampung kesemua 211 penghuni asrama, termasuk bangunan asrama pelajar lelaki.

Menurutnya, ini kerana, bukan sahaja bangunan yang sudah hangus terbakar itu berusia puluhan tahun, tetapi semua bangunan asrama sekolah tersebut sudah lama dan diperbuat daripada binaan kayu yang wajar digantikan dengan bangunan konkrit.

"Bangunan sekolah ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak, yang mana ketika itu beliau masih Menteri Besar Pahang. Ia sudah lama dan usang. Hanya asrama lelaki sahaja yang dibina daripada konkrit itupun di bahagian bawah manakala di bahagian atas masih kayu.

"Justeru pihak sekolah berharap sekiranya kerajaan ingin membina bangunan baharu, besarlah harapan bangunan lain juga dibina untuk kemudahan dan keselesaan para pelajar di sini," katanya ketika ditemui pada majlis Penyerahan Cek Sumbangan oleh Roadcare Malaysia Sdn Bhd, di sekolah tersebut, semalam.

Dalam program itu Roadcare Malaysia dan Rakan Roadcare Pahang (RRP) menerusi Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Wan Imran Wan Omar menyampaikan sumbangan tunai RM10,000 kepada pihak sekolah.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib; Pengerusi RRC Pahang, Pahang Mohd Zakaria Omar; Timbalannya, Datuk Zahari Din dan Pengurus Roadcare Wilayah Pahang, Rishadi Irwan.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, Selas lalu, sebuah bangunan asrama puteri yang menempatkan 73 pelajar perempuan dari Dorm A dan Dorm B sekolah agama tersebut, musnah terbakar sehingga menyebabkan penghuninya tinggal sehelai sepinggang.

Pengetua, Shamsuri Shamsuddin berkata, para pelajar terlibat kebakaran dibenarkan balik seketika untuk menguruskan dokumentasi kad pengenalan yang terbakar.

"Buat masa ini lokasi yang dikenalpasti untuk penempatan ialah di rumah saya yang akan menampung 48 pelajar. Dan selebihnya di kuarters berhadapan rumah saya seramai 25 pelajar.

"Kami berterima kasih kepada KSM, dan Yang diPertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Datuk Shahaimi Osman dan Adun Luit, Nurhidayah Shahaimi yang meluangkan masa membantu pihak sekolah terutama dari segi pemilihan lokasi penempatan sementara.

"Pihak sekolah menunggu laporan rasmi daripada Jabatan Forensik Bomba dan akan menentukan punca kejadian sebenar kejadian tersebut. Anggaran kerugian keseluruhan yang ditafsir secara tidak rasmi ialah, RM215,000 di mana bangunan sebanyak RM150, 000, peralatan tilam katil dan sebagainya bernilai RM55,000 dan peralatan peribadi pelajar RM40,000," katanya.


0 comments:

share2