Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 3, 2017

LAPOR POLIS ISU KAD IDENTITI BANGSA JOHOR


Lapor polis isu kad identiti Bangsa Johor


Johor Bahru - Satu laporan polis dibuat Setiausaha Akhbar Menteri Besar Johor berhubung pengeluaran kad identiti Bangsa Johor, seperti yang sedang tular di media sosial.

Laporan polis dibuat Ahmad Asri Khalbi kira-kira jam 9.43 malam di Balai Seri Alam, di sini, semalam.

"Saya telah menerima WhatsApp kumpulan iaitu sekeping kad identiti Bangsa Johor yang dikatakan sebagai kad pengenalan Bangsa Johor.

"Pada bahagian hadapan dan belakang, borang permohonan dan syarat-syarat permohonan, notis perkhidmatan serta kelebihan kelebihan kad bangsa Johor. Saya kemudian memaklumkan kepada Menteri Besar Johor tentang perkara ini, kemudian Menteri Besar meminta saya buat laporan pihak polis serta membuat kenyataan penafian perkara tersebut," katanya yang dipetik menerusi laporan polis tersebut.

Terdahulu sebelum itu, kerajaan negeri menafikan pernah mengeluarkan kad identiti Bangsa Johor tersebut.

Setiausaha Kerajaan Johor, Azmi Rohani berkata, setakat ini tidak ada mana-mana pihaknya termasuk jabatan kerajaan negeri mengeluarkan kad terbabit.

"Penggunaan identiti Johor bagi tujuan sedemikian rupa tanpa merujuk kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri adalah dilarang sama sekali," katanya.

Menerusi status seorang lelaki di akaun Twitter memberikan maklumat supaya orang Johor yang masih belum mendapatkan kad berkenaan boleh mendapatkannya segera.

Dalam kad itu turut dipaparkan nombor kad pengenalan Malaysia dan dibawahnya terdapat nombor Identiti Bangsa Johor.

Selain itu, kad berkenaan kononnya boleh dijadikan sebagai kad debit untuk membuat pembelian dan membeli-belah.

Di bahagian belakang kad pula, tertera alamat pemegang kad dan nama waris terdekat termasuk penyataan bahawa kad berkenaan adalah untuk pengesahan pengenalan bangsa Johor.


0 comments:

share2