Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 24, 2017

[KUANTAN] PTG SITA JENGKAUT KOREK TANAH DI KAMPUNG JERAM


PTG sita jengkaut korek tanah di Kampung Jeram


Pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri menyita jengkaut yang menjalankan kerja mengorek tanah di kawasan lombong bauksit di Kampung Jeram, Beserah di sini, Selasa lalu.

Exco Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang, Dato' Sri Mohd Soffi Abd Razak berkata, tindakan itu diambil selepas pihak pelombong disyaki melanggar arahan moratorium.

Menurutnya, dalam tempoh moratorium, sebarang kerja mengorek bauksit tidak boleh dilakukan dan ia dijadualkan tamat pada 31 Mac depan.

“Tindakan pelombong seperti kes di Kampung Jeram terang-terang melanggar arahan moratorium iaitu memberhentikan segala kerja melombong bauksit.

“Kita telah ambil tindakan dan kerajaan negeri juga akan terus memastikan arahan moratorium itu dipatuhi semua pihak yang terlibat dengan kegiatan perlombongan bauksit," katanya ketika dihubungi, di sini.

Selasa lalu, penduduk Kampung Jeram bimbang selepas mendapati kerja mengorek tanah menggunakan jengkaut di kawasan bekas lombong bauksit di situ kembali beroperasi meskipun dalam tempoh moratorium.

Mohd Soffi berkata, pihak berkuasa akan menjalankan siasatan lanjut ke atas pelombong itu sebelum mengambil tindakan mengikut Enakmen Mineral Pahang 2001.

“Jika terbukti memang langgar arahan moratorium, kita boleh ambil tindakan tegas. Kes ini akan disiasat terlebih dahulu dan selepas itu baru ditentukan apa (pertuduhan) yang sesuai dikenakan," katanya.


0 comments:

share2