Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 24, 2017

[KUANTAN] IBU TUNGGAL RAYU BANTUAN BAIKI RUMAH


Ibu tunggal rayu bantuan baiki rumah


Seorang ibu tunggal dari Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Bukit Goh, di sini merayu bantuan membaiki rumah didiami bersama enam anaknya.

Rumah pusaka milik Hasniah Mat Husin, 43, itu mengalami beberapa kerosakan, menyebabkan dia dan anak-anak berusia lapan hingga 21 tahun terpaksa tinggal dalam keadaan tidak selesa.

Katanya, keadaan rumah itu juga sudah tidak selamat memandangkan atapnya bocor, papan dinding renggang, tingkap rosak dan sebahagian struktur rumah juga kelihatan senget selain beberapa kerosakan lain yang perlu dibaiki segera.

“Saya tak mampu untuk membaiki rumah ini memandangkan hanya bergantung kepada pendapatan hasil membuat kuih yang tidak seberapa.

“Kalau ikutkan pendapatan itu tidak cukup untuk tampung perbelanjaan keluarga tapi mujurlah saya dapat bantuan daripada Pusat Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan.

“Keluarga juga ada membantu, sekurang-kurangnya bantuan diterima dapat meringankan beban kami,” katanya.

Menurutnya, dua anaknya yang berusia 14 dan 16 tahun kini tinggal di asrama manakala empat lagi tinggal bersamanya termasuk seorang yang bakal menduduki peperiksaan UPSR tahun ini.

“Anak sulung berusia 21 tahun pula mungkin terpaksa menjalani pembedahan selepas terbabit kemalangan dan kalau ikut kosnya kira-kira RM2,000,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini mereka terpaksa tinggal di rumah itu walaupun dalam keadaan tidak selesa.

“Bila hujan, atap bocor, dinding rumah berlubang dan tingkap pula terpaksa ditutup dengan papan.

“Saya nak tinggal anak-anak pun rasa tak selamat tetapi buat masa sekarang buntu untuk mencari wang bagi membaiki rumah ini,” katanya.


0 comments:

share2