Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 28, 2017

[KUANTAN] GRADUAN MATA ADA STANDARD TINGGI


Graduan Mata ada standard tinggi



Akademi Latihan Penerbangan Malaysia (Mata) yakin mampu memenuhi keperluan tenaga kerja profesional dalam bidang kejuruteraan pesawat di negara ini.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Mata, Datuk Sulaiman Dahlan berkata, graduan dari akademi tersebut bukan calang-calang malah mempunyai standard antarabangsa.

Menurutnya, dengan penyediaan fasiliti pembelajaran dan latihan amali yang lengkap, kepakaran tenaga pengajar dan pentauliahan daripada pihak bertanggungjawab sepenuhnya ke atas industri penerbangan mengukuhkan lagi kedudukan pusat pendidikan tersebut dalam melahirkan graduan vokasional yang cemerlang.

“Sokongan daripada Kementerian Pendidikan dalam bidang akademik dan kelulusan serta pentauliahan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) maka kebolehan mereka berada di tahap tertinggi.

“Melalui pembelajaran mengikut standard antarabangsa maka secara tidak langsung mereka tidak mempunyai masalah untuk memenuhi ruang kerja dalam industri pesawat bukan sahaja tempatan malah sudah layak diletakkan di pasaran dunia,” katanya.

Beliau berkata dalam satu sidang media selepas Majlis Konvokesyen Mega 2017 kali keempat, Mata, di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Seramai 449 pelajar Mata berjaya menamatkan pembelajaran dan latihan amali selama tempoh lebih kurang empat setengah tahun di akademi tersebut.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, pihaknya telah melabur kira-kira RM9 juta bagi menyediakan fasiliti dan kemudahan latihan amali yang lengkap berkaitan bidang penyelenggaraan pesawat yang wajib dilaksanakan sebelum tamat pembelajaran.

“Pembukaan pusat latihan amali di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai awal Februari lalu yang diluluskan DCA dengan kemudahan pusat penyimpanan (hanger), kapal terbang milik akademi, kelengkapan alat penyelenggaraan sebenar hingga membolehkan pelajar melalui latihan sama seperti berada dalam situasi pekerjaan sebenar.

“Justeru itu, dengan kelengkapan dan kelulusan tersebut Mata telah disahkan sebagai pusat pembelajaran teknikal dan peperiksaan bukan sahaja pelajar di sini malah sesiapa sahaja dari mana-mana institusi yang mempunyai kaitan atau bidang dalam penyelenggaraan pesawat,” katanya.

Sementara itu, katanya, masyarakat khususnya ibu bapa juga perlu yakin dengan kemampuan dan peranan Mata dalam industri pesawat.

“Sebagai memenuhi permintaan tenaga kerja, pihak kami turut berkolaborasi bersama syarikat penerbangan tempatan dalam menempatkan pelajar-pelajar bukan sahaja melakukan latihan amali malah untuk terus bekerja dengan syarikat berkenaan,” katanya.


0 comments:

share2