Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 26, 2017

[KUANTAN] DUA PELAJAR MATI LEMAS DI AIR TERJUN BEKELAH


Lemas


Kegembiraan sekumpulan pelajar berkelah di Air Terjun Bekelah, Gambang dekat sini berakhir dengan tragedi apabila dua rakan mereka lemas petang semalam.

Dalam kejadian pukul 1.15 petang itu, mangsa Muhammad Azrul Khairudin, 20, dari Kampung Banggol Perdong, Manir, Kuala Terengganu; dan Muhammad Zahid Hamidi Mohd Hasan, 20, dari Seri Menanti, Muar, Johor dilaporkan telah mandi di air terjun itu bersama 11 lagi rakan mereka.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Anuar Hasan berkata kedua-dua mangsa, pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP), dilaporkan telah terjun ke dalam satu lubuk di situ, tetapi tidak timbul di permukaan selepas beberapa ketika.

"Rakan mangsa kemudian bertindak melaporkan hal itu untuk bantuan bomba. 

"Seramai 11 anggota bomba termasuk dari Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon 1 menjalankan misi mencari dan menyelamat sebaik tiba di lokasi berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Mayat kedua-dua mangsa yang merupakan pelajar tahun tiga jurusan sains berjaya ditemui berasingan di tingkat satu air terjun itu pada pukul 3.25 petang dan 3.48 petang.

Anuar berkata kedua-dua mangsa itu dipercayai lemas akibat pusaran air yang laju di kawasan lubuk berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.


0 comments:

share2