Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 15, 2017

'ISI' PERCUMA DI DUA KIOS BHPETROL


BHPetrol


Petaling Jaya - Kenderaan elektrik (EV) boleh membuat "pengisian" di dua stesen servis Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) di Lembah Klang secara percuma.

Kios-kios pengecasan EV itu terletak di Kg Sungai Kayu Ara di Petaling Jaya dan Sungai Besi Harmony (selepas plaza tol hala selatan ke arah Seremban).

BHPetrol sedang mempertimbangkan untuk memasang lebih banyak stesen pengecasan EV di lokasi-lokasi utama tahun ini.

Pengarah Urusan BHPetrol Tan Kim Thiam berharap usaha tersebut akan meningkatkan imej dan jenama syarikat berkenaan di kalangan pemilik EV.

Katanya, syarikat itu akan memasang lebih banyak titik pengecasan EV di stesen servis BHPetrol pada masa akan datang bagi memenuhi permintaan.

"Lebih banyak stesen mengecas EV akan diperkenalkan tahun ini, kemungkinan besar ia terletak berdekatan dengan lebuh raya, seperti di Pagoh (Johor), Tapah (Perak), Sungai Dua (Pulau Pinang), Karak dan Bentong (Pahang), untuk membantu pemilik EV membuat pengecasan kecemasan. 

"Kami masih mengkaji aliran semasa. Kami fikir mungkin, sudah tiba masanya untuk perkhidmatan ini diperkenalkan," katanya kepada Bernama.

Untuk projek ini, BHPetrol telah bekerjasama dengan First Energy Networks Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Tan Chong Group (TGC), yang menyediakan sistem dan infrastruktur pengecasan EV.

Selain daripada Nissan Leaf, yang diedarkan oleh TCG, stesen pengecasan EV BHPetrol yang dilengkapi dengan titik pengecasan pantas 22kW juga memenuhi model-model EV yang lain seperti Renault Zoe, Renault Twizy, Volvo XC90 dan BMW i8, seperti yang ditunjukkan semasa pelancaran di BHPetrol Kg Sungai Kayu Ara di sini, hari ini. 

Tan berkata, Kumpulan BHPetrol, yang mempunyai 360 stesen servis di seluruh Semenanjung Malaysia, telah memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi perbelanjaan modal tahun ini, khususnya untuk menambah lebih 10 hingga 15 stesen lagi dalam negara.

Sementara itu, Pengarah TCG, Nicholas Tan Chye Seng berkata, kos pembinaan dua sistem mengecas EV menelan belanja sebanyak RM80,000.

"Kami mahu menggalakkan lebih ramai orang untuk memandu EV. Pada masa sekarang, pengewangan adalah agak sukar. Matlamat kami yang paling utama adalah untuk meningkatkan penggunaan," katanya. 

Dalam usaha untuk menggalakkan peralihan kepada EV, TCG mungkin akan memperkenalkan aplikasi peta interaktif bagi memudahkan pelanggan mencari stesen mengecas EV. 

"Kita mempunyai satu perjanjian bukan eksklusif dengan BHPetrol, ini juga bermakna, kita juga boleh bekerjasama dengan orang lain," katanya.


0 comments:

share2