Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 6, 2017

GURU BESAR DIPENJARA TERIMA SUAPAN


Mahkamah


Shah Alam - Seorang guru besar dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan menerima suapan RM4,400 daripada pengusaha kantin, tiga tahun lalu.

Hakim, Asmadi Hussin membuat keputusan itu terhadap M Subramaniam dan memerintahkan hukuman itu berjalan bermula hari ini.

Dalam keputusannya, Asmadi berkata, pihak pembelaan gagal mematahkan anggapan yang terpakai terhadapnya dan gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Bagi pertuduhan pertama, mahkamah memerintahkan kamu menjalani hukuman penjara empat bulan manakala bagi pertuduhan kedua hukuman penjara empat bulan dijalankan selepas selesai hukuman pertama," katanya.

Subramaniam, 55, didapati bersalah menerima suapan berbentuk cek bernilai RM1,500 tanpa balasan daripada pengusaha kantin tersebut yang mempunyai tugasan rasmi dengannya iaitu mendapatkan surat sokongan bagi melanjutkan kontrak kantin di SJKT Rawang. 

Kesalahan itu dilakukannya di kantin sekolah berkenaan antara 11 pagi dan 2 petang pada 30 Januari 2014. 

Bapa kepada tiga anak itu turut bersalah menerima wang tunai sebanyak RM2,900 tanpa balasan daripada pengusaha kantin itu sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama. 

Perbuatan itu dilakukannya di bilik makan guru kantin sekolah itu pada 3.15 petang pada 8 Oktober tahun sama. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mahamad Sukri Seman mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.


0 comments:

share2