Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 9, 2017

EMPAT KAMPUNG DILANDA BANJIR


Empat kampung dilanda banjir


Jelebu - Sebanyak 10 buah rumah membabitkan empat kampung di daerah ini dilanda banjir lumpur, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.20 malam itu, dua rumah di Kampung Kelakar, sebuah rumah di Kampung Batu 17, Ulu Klawang, enam rumah di Kampung Serambai dan sebuah rumah di Kampung 13/4, Kampung Bandar Tinggi, Kuala Klawang ditenggelami air lumpur.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Othman Basri berkata, banjir berpunca dari hujan lebat berterusan hingga menyebabkan pokok tumbang dan hakisan tanah.

“Hakisan tanah berlaku di sepanjang tebing jalan berhampiran sungai di Jalan Ulu Klawang dan Jalan Renal menyebabkan banjir lumpur berlaku di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan dibuka dan lokasi tersebut dipantau polis dan pihak berkuasa lain sepanjang malam tersebut,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pasukan Bomba, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat kerja-kerja pemotongan pokok dan pembaikan tebing yang berisiko tumbang.

Sementara itu, dalam kejadian berkaitan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu, Mohd Fazill Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 8 malam berhubung sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang terbalik akibat mengelak pokok tumbang di Jalan Kampung Renal – Kuala Klawang.

Beliau berkata, sebuah jentera dan Unit EMRS bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba tiga minit kemudian.

“Sebaik tiba, kelihatan kereta mangsa terbalik di atas jalan. Pemandu seorang lelaki berusia awal 30-an berjaya keluar dari kenderaan sejurus kejadian. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut memantau jalan utama tersebut kerana masih berlaku pergerakan tanah pada bukit berhampiran jalan.

Menurutnya, ini termasuk kerja pemotongan pokok yang tumbang di sepanjang 500 meter di Jalan Kampung Renal – Kuala Klawang.

“Kita telah meminta bantuan pihak JKR dan JPS untuk membersihkan jalan dan pokok yang tumbang hingga jalan dibuka semula kira-kira 10 malam,” katanya.

Beliau berkata, banjir lumpur di kampung terbabit bagaimanapun surut kira-kira 11.45 malam.


0 comments:

share2