Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 24, 2017

ANNUAR GARIS TUJUH PELAN UTAM FAM, JIKA DIPILIH


Annuar Musa


Tan Sri Annuar Musa menggariskan tujuh pelan utama sekiranya beliau terpilih menerajui badan induk bola sepak kebangsaan pada kongres pemilihan Ke-53, 25 Mac ini.

Walaupun tidak mendedahkan secara terperinci visi dan misinya itu, namun ia sudah cukup menggambarkan betapa calon Presiden FAM itu memiliki iltizam dan keazaman tinggi mahu menukar struktur pentadbiran di Kelana Jaya yang sudah lapuk itu.

Annuar dipetik menerusi laman sosialnya semalam, turut menetapkan empat teras utama dalam usahameningkatkan kecemerlangan mutu bola sepak negara menerusi perancangan, penyertaan, keterbukaan serta merakyatkan semula sukan nombor satu itu.

“Ada yang tanya, apakah saya tidak ada perancangan untuk FAM ? Ada...cuma sabar-sabarlah dahulu. Saya beri kerangka dasar, maklumat lengkapnya (akan menyusul) bulan depan,” katanya ringkas menerusi entri berkenaan.

Annuar memberitahu, dia mahu menjadikan bola sepak sebagai agenda nasional seiring Transformasi Nasional 2050 (TN50), satu inisiatif pembangunan negara jangka panjang seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bulan lalu.

Selain itu, beliau juga akan menggubal satu blue printyang dinamakan “Malaysia Dare to Dream 2050’ bermatlamat menjadikan negara ini sebagai kuasa besar bola sepak untuk tempoh 30 tahun akan datang.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu juga berhasrat memperkasakan badan gabungan FAM sambil dalam masa sama mahu mewujudkan Majlis Perundingan Presiden (PCC) dengan perkongsian sumber kewangan diagihkan secara sama rata.

Dalam entri itu juga, beliau menetapkan perancangan untuk membangunkan semula Liga Malaysia (Liga-M) dengan memisahkan peranan FAM dan pengelola penganjuran liga domestik itu selain memperkenalkan konsep financial fairplay. 

Katanya lagi, roadmap atau pelan tindakan pasukan bola sepak kebangsaan juga akan diperkenalkan dengan sasaran sekurang-kurangnya berada pada kelompok 100 pasukan teratas dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Tidak ketinggalan, Annuar mahu memastikan rejim baharu pentadbirannya itu bebas sepenuhnya daripada korupsi dengan kumpulan sasaran adalah pihak pengurusan, pegawai dan pemain haruslah menjunjung integriti sepanjang masa.

Dalam visi terakhirnya, beliau turut membayangkan kesediaan menubuhkan Perbadanan FAM, iaitu sebuah entiti baharu yang akan diwujudkan secara berasingan selain Yayasan FAM dengan fokus utama tidak lari daripada membiayai pembangunan di peringkat akar umbi demi kecemerlangan bola sepak negara.


0 comments:

share2