Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 21, 2017

WUJUD PROJEK LEBUH RAYA MISTERI


Dr Zambry Abd Kadir


Bagan Datuk - Kerajaan negeri tidak pernah memberikan sebarang perakuan terhadap pelaksanaan projek Lebuhraya Jelapang-Selama- Batu Kawan (Jelas) yang dikendalikan sebuah syarikat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga difahamkan tidak pernah memberikan sebarang kelulusan pembinaan laluan baharu tersebut.

Katanya, sebarang pembinaan lebuh raya baharu perlu dapat kelulusan kerajaan Persekutuan bukan kerajaan negeri.

"Saya mendapat banyak maklumat berkenaan kegiatan (upacara dan pelancaran Lebuhraya Jelas) ini. Bila ada desas-desus perasmian projek oleh menteri, saya terus memeriksa sama ada projek ini diluluskan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan ia tidak sama sekali.

"Saya menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan semalam (kelmarin) untuk mengesahkan perkara berkenaan kerana saya difahamkan mereka (syarikat berkenaan) cuba untuk mendapatkan beliau kononnya bagi merasmikan lebuh raya itu. Beliau (Abdul Rahman) sendiri pun tidak tahu tentang kewujudan lebuh raya itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Ceramah Perdana Datuk Kazim Elias di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak pernah mengetahui pelan perancangan lebuh raya tersebut yang didakwa dimasukkan dalam pelan tempatan Majlis Daerah Selama.

"Saya tidak ingin membuat tuduhan awal sekiranya terdapat penyelewengan tetapi kalau dilihat dari segi modus operandi mereka, dia seolah-olah satu gerakan yang begitu terancang," katanya.

"Kita akan berbincang dengan LLM dan kerajaan persekutuan untuk tindakan seterusnya kerana tindakan mereka amat serius. Malah, mereka turut menggunakan logo-logo LLM di gegantung program atau majlis mereka," ujarnya lagi.

Mengenai kehadiran Speaker Dun Perak, S Thangesvari dalam satu majlis anjuran syarikat berkenaan, beliau anggap Thangesvari mungkin tidak tahu perkara sebenar tentang status pembinaan lebuh raya tersebut.

Difahamkan, LLM telah membuat laporan polis berkenaan projek Lebuhraya Jelas oleh syarikat berkenan, di Balai Polis Sungai Nibong, Pulau Pinang.

Sementara itu, LLM dalam kenyataan medianya, semalam turut menafikan penglibatan mereka dalam pembinaan lebuh raya itu.

Pihak LLM turut memaklumkan tidak pernah memberi kebenaran kepada syarikat berkenaan menggunakan logo LLM untuk projek lebuh raya itu atau apa-apa acara berkaitan.


0 comments:

share2