Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 30, 2017

TENGKU ABDULLAH INGATKAN RAKYAT JAGA KEBERSIHAN


Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah


Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini mengingatkan rakyat di negeri itu agar sentiasa mengambil berat aspek penjagaan kebersihan persekitaran bagi menghalang pembiakan aedes. 

Baginda bertitah langkah berkenaan penting untuk mengelak penularan wabak denggi dalam kalangan rakyat berikutan Pahang antara enam negeri yang mencatatkan peningkatan kes demam denggi pada minggu ketiga tahun ini.

"Saya juga mengingatkan (tentang) kebersihan berkaitan kebersihan persekitaran, kebersihan di rumah. Saya dimaklumkan pihak media tadi, katanya Pahang (berada) dalam satu keadaan berwaspada bersama negeri lain disebabkan wabak denggi.

"Kalaulah ini benar, saya berharap kita semua perlu mengambil peringatan serius dan berhati-hati," titah baginda kepada pemberita selepas berkenan mengurniakan sumbangan kepada 745 mangsa banjir ketika melawat pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Batu Kapor, Mentakab, dekat sini hari ini. 

Turut berangkat Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga berkenan memasak hidangan tengah hari untuk semua mangsa banjir itu.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan, berkata enam negeri mencatatkan peningkatan kes demam denggi iaitu Selangor, Perak, Kedah, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan pada minggu ketiga tahun ini. 

Menurutnya, bagi tempoh 15 hingga 21 Jan, sebanyak 2,053 kes dilaporkan di kesemua negeri itu dengan peningkatan sebanyak 177 kes (9.43 peratus) berbanding 1,876 kes pada minggu sebelumnya (8-14 Januari). 

Sementara itu, mengenai bencana banjir di Pahang, Tengku Abdullah mengibaratkan kejadian sebagai satu hikmah dan petunjuk kepada rakyat di negeri berkenaan. 

"Sekurang-kurangnya kita dapat mendekatkan pihak pemerintah, pihak kerajaan dengan rakyat...selain itu, kita dapat juga menyelesaikan masalah peribadi, masalah keluarga sedikit-sebanyak," katanya.


0 comments:

share2