Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 15, 2017

[TEMERLOH] TENGKU ABDUL RAHMAN MOHON MAAF






PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah memohon maaf kepada semua penyokong Pahang berikutan prestasi tidak memuaskan Skuad Tok Gajah pada musim lalu yang disebabkan pemain-pemain Pahang disambar pasukan lain sebelum itu.

Beliau berkata, akan cuba sedaya upaya mengembalikan semula kegemilangan skuad Tok Gajah pada musim ini melalui pembentukan pasukan yang lebih mantap dengan tenaga baru pemain dan juga penyokong.

"Sepanjang musim lalu segala cemuhan dan kritikan saya terima dengan hati terbuka dan saya duduk diam-diam mengatur langkah.

"Kita akan bangkit semula dan menggunakan tenaga yang disimpan pada tahun lepas bersama-sama dengan pasukan kita," katanya ketika berucap pada Karnival Pahang Super Fans di Stadium Temerloh di sini, malam semalam.

Pada majlis itu PBNP, memperkenalkan pemain baharu skuad Tok Gajah yang akan dikendalikan jurulatih berpengalaman, Dollah Salleh.

Antara pemain tempatan berpengalaman dari pasukan lain yang disenaraikan Tok Gajah musim ini ialah Muslim Ahmad, Muhammad Zubir Azmi, Christie Jayaselan, Joseph Kallang Tee, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria,Ahmad Syamim Yahya dan Mohamad Ashari Samsudin.

Selain pemain tempatan itu,Tok Gajah turut diperkuatkan dengan empat tonggak import baharu.

Tengku Abdul Rahman berkata, kejayaan pasukan Pahang sebelum ini menyebabkan ramai pemain skuad Tok Gajah itu diintai oleh pasukan lain.

Bagaimanapun beliau tidak sesekali menyalahkan pemain yang berhijrah kerana mereka juga perlu mencari sesuatu yang terbaik dalam kerjaya masing-masing.

"Saya mengaku kesilapan tetapi mereka juga tidak memberi saya peluang untuk melakukan rundingan semula jadi saya terpaksa dapatkan pemain muda," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta semua pihak termasuk penyokong bola sepak negeri ini memberi sokongan padu kepada pasukan Tok Gajah.

Ujar beliau kerjasama semua pihak penting dalam usaha mengembalikan kegemilangan pasukan Tok Gajah kerana pemain sahaja tidak mampu berjuang berseorangan.


0 comments:

share2