Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 19, 2017

[ROMPIN] TAK PERNAH LANTIK WAKIL KUTIP DERMA


Tak pernah lantik wakil kutip derma


Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman tidak pernah melantik mana-mana pihak mewakili badan itu bagi mengutip sumbangan atau derma untuk tujuan pentadbiran atau sebagainya.

Pengurus Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur Iman Cawangan Rompin, Mohd Farid Mohd Ramly, berkata, kegiatan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh pihak tertentu itu dimaklumkan oleh kenalannya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diberikan, kegiatan itu berlaku di sekitar Kuantan dan ia adalah di luar pengetahuan pihaknya selain menggesa masyarakat atau orang awam agar mengabaikan pihak yang mengutip derma itu.

“Kita amat kecewa dengan maklumat yang diterima ini kerana selama ini kita tak pernah melantik mana-mana pihak untuk mewakili Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur iman bagi tujuan mengutip derma atau sumbangan.

“Orang awam atau masyarakat yang bertemu atau berhadapan dengan mana-mana pihak atau individu yang mengatakan mewakili Nur Iman, abaikan mereka atau laporkan kepada pihak berkuasa kerana ia adalah aktiviti penipuan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak amat penting bagi tujuan membanteras selain mengelak kegiatan penipuan itu terus berlarutan dan lebih ramai orang awam yang simpati akan tertipu selepas ini.

Dalam pada itu, Mohd Farid turut menyarankan sekiranya mana-mana pihak atau orang awam mahu menghulur sumbangan atau derma boleh terus ke pejabat Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur Iman Cawangan Rompin, Temerloh atau Kuantan atau berhubung dengan pengurus.

“Segala sumbangan boleh disalurkan melalui nombor akaun 06019010106019 (Bank Islam) atas nama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman, atau datang sendiri ke pejabat kami. Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan saya di talian013-2001980,” katanya.


0 comments:

share2