Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 28, 2017

[ROMPIN] BIMBANG DIREMPUH BALAK HANYUT


Bimbang dirempuh balak hanyut


Pengusaha rumah rakit di Kampung Gading, di sini, tidak bimbang dengan keadaan air sungai yang tinggi dan arus yang deras kerana telah mengambil langkah-langkah keselamatan untuk menghadapi keadaan itu.

Bagaimanapun, rasa bimbang itu lebih kepada waspada terhadap kayu-kayu balak hanyut yang boleh melanggar rumah rakit sekali gus pelampung akan rosak dan tercabut menyebabkan ia menjadi tidak stabil.

Pengusaha rumah rakit, Fadhil Maarof, 48, berkata, dalam keadaan arus deras beliau mengikat banyak tali sokongan supaya rumah rakit lebih stabil dan tidak mudah hanyut sekiranya dilanggar objek besar.

Menurutnya, tali-tali sokongan itu tidak memungkinkan rumah rakit boleh hanyut walaupun banjir besar kerana kaedah yang digunakan itu memberi lebih kekuatan dan terbukti apabila setakat ini belum pernah lagi hanyut.

“Musim begini, pada waktu malam air pasang besar ditambah pula air turun dari hulu menyebabkan air sungai melimpah hingga naik dengan air lebih kurang sekaki di atas darat, kebiasaan air pasang dalam jam 12 malam dan mula surut jam 2 pagi.

“Tali-tali sokongan ini banyak membantu, saya ikat dari pokok kat tebing ke rakit, dari rakit ke tiang nibong yang dipacak antara rakit dan dari rakit ke rakit, ia boleh tahan banjir besar dan tak pernah lagi hanyut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dia yang mengusahakan rumah rakit sejak beberapa tahun lalu itu bagaimana pun tidak menafikan pernah berlaku pelampung rosak dan tercabut yang kemudiannya dihanyutkan kerana dilanggar objek.

Menurutnya, rumah rakit tidak rosak dan hanya perlu dibaiki dengan menggantikan pelampung lain. 

Fadhil turut menjelaskan bahawa ia perkara biasa sekiranya pelampung sudah dipenuhi air, ia menjadi mendap menyebabkan tercabut sendiri apabila dirempuh.

Dalam pada itu, tempahan yang penuh dari 28 hingga 30 Januari sempena cuti Tahun Baharu Cina kemungkinan terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan memandangkan keadaan paras air sungai yang tinggi.

“Bila air pasang ia akan melimpah ke atas darat, kita tak risaukan pasal rakit ni sebab rakit ni akan ikut naik apabila air naik tapi kita risaukan persekitaran takut ada masalah-masalah macam ular, sebab kalau nak ke tandas terpaksa redah air, binatang-binatang ni boleh membahayakan pengunjung,” katanya.


0 comments:

share2