Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 6, 2017

[RAUB] EDAR CECAIR DADAH DALAM BOTOL MINUMAN


Edar cecair dadah dalam botol minuman


Lima kali ditangkap dan dihukum sepanjang lebih 13 tahun bergiat dengan najis dadah belum cukup memberi pengajaran kepada seorang lelaki apabila dia kembali ditangkap atas kesalahan sama.

Suspek berusia 40 tahun itu yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah ini cuba menyembunyikan kegiatannya dengan menjual dadah dalam bentuk cecair dan diletakkan dalam botol minuman yang terkenal di pasaran.

Ketua Polis daerah, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, cubaan suspek mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila siasatan awal yang dijalankan mendapati lima botol minuman yang dirampas sebenarnya berisi cairan campuran dadah jenis syabu, ketamin dan ecstasy.

Menurutnya, penahanan suspek di hadapan sebuah rumah di Taman Amalina Saujana oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Raub membawa kepada penemuan bekalan dadah yang disimpan di sebuah lagi rumah sewa suspek di Taman Bukit Idaman.

“Polis berjaya merampas 450 biji ecstasy, 11 keping foil di mana setiap kepingnya berisi 10 biji pil disyaki dadah jenis eramin 5, tujuh paket plastik berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu anggaran berat kasar 8.27 gram.

“Turut ditemui ialah tujuh paket plastik berisi warna putih disyaki dadah jenis ketamin anggaran berat kasar 6.80 gram, dua paket plastik berisi serbuk dan ketulan mampat berwarna hijau disyaki ganja seberat 15.06 gram,” katanya pada sidang media di IPD Raub di sini.

Zahari berkata, lima botol minuman berisi cecair campuran dadah seberat 500ml setiap satu dijual dengan harga RM300 setiap botol kepada penagih di sekitar daerah.

“Nilai keseluruhan rampasan ialah RM40 000 dan polis percaya suspek menerima bekalan dadah dari Kuala Lumpur bagi kegunaan sendiri dan untuk dijual sejak tahun lalu.

“Suspek kini ditahan reman selama 14 hari dan akan didakwa di atas kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ujarnya lagi, rampasan tersebut juga merupakan kejayaan pertama polis daerah mengesan dadah jenis cecair yang dipasarkan bagi mengaburi mata polis dan orang ramai.

“Polis akan terus menjalankan pemantauan dan operasi berkaitan dalam usaha membanteras dadah secara berterusan dan tuntas. Kita turut mengharapkan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar komuniti masing-masing,” katanya.


0 comments:

share2