Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 23, 2017

[MARAN] PERTINGKAT KEGIATAN BELIA


Ismail Abd Muttalib


Majlis Belia Daerah (MBD) serta badan bukan kerajaan (NGO) disaran menganjurkan lebih banyak kegiatan dan perjumpaan dengan generasi muda dalam usaha mengumpul dan mendekati mereka untuk menyelami pelbagai masalah yang dihadapi golongan terbabit.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, kegiatan ataupun majlis seumpama itu tidak semestinya secara formal atau besar, tetapi memadai dengan kelompok kecil.

"Ini akan membantu kita dalam menerima apa juga pandangan ataupun cadangan terbaik yang boleh disampaikan kepada wakil rakyat atau pun kerajaan.

"Golongan muda akan berasa malu untuk menyuarakan pendapat, pandangan atau masalah jika mereka dilibatkan bersama dengan orang tua atau lama. Hanya majlis sesama mereka (belia) sahaja membolehkan mereka menyuarakan masalah," katanya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan golongan belia supaya menggunakan platform yang betul di dalam menyampaikan segala masalah, tetapi bukan dengan cara yang bertentangan undang-undang negara seperti menyertai perhimpunan haram dan demonstrasi.

Ismail berkata, Majlis Belia, Badan Badan NGO ataupun persatuan belia adalah landasan terbaik bagi orang muda untuk menyuarakan segala masalah mereka.

Beliau berkata, dialog terbuka Perdana Menteri bersama kira-kira 500 belia dan anak-anak muda baru-baru ini merupakan perintis ke arah menyelami masalah golongan itu selain menyatu-padukan mereka.

"Belia bakal mengambil tampuk pemerintahan negara. Mereka perlu pro aktif dan bersama kerajaan untuk membangunkan negara serta perlu berani menyuarakan pandangan ataupun cadangan kerana mungkin ada antara pandangan itu lebih baik yang boleh diguna pakai.

"Belia hari ini bukan lagi seperti belia di zaman 50 an lalu, malah mereka didedahkan dengan pelbagai ilmu dan teknologi moden serta media sosial yang canggih.

"Mereka, yang merupakan akan mencorakkan masa depan, ekonomi negara dan pemerintahan seharusnya pantas, bangkit dan bersama sama membantu kerajaan," katanya.


0 comments:

share2