Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 3, 2017

MANFAAT PEMBANGUNAN BERSAMA CHINA

China



SEJAK kebelakangan ini, isu pembangunan negara bersama dengan China menjadi panas. Ada yang mempertikaikan hutang dengan negara China. Seolah-olah Malaysia sudah terjual kepada negara China. Tetapi ramai kurang tahu dengan permainan geopolitik dunia hari ini. Malaysia sebenarnya tersepit antara dua kuasa utama dunia, satu di pihak Amerika dan Eropah manakala satu lagi di pihak BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan).

Melalui kuasa Amerika kita menandatangani TPPA (Trans Pacific Partnership Agreement) yang meletakkan syarat pendemokrasian dalam perekonomian negara kita. Bermula dari hak cipta intelektual dilindungi sehingga kepada kebebasan perniagaan syarikat multinasional dilayan sama rata dengan syarikat tempatan. Tetapi kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika pada 10 November lalu memungkinkan suntikan pelaburan daripada TPPA bermasalah. Ini turut memberi implikasi ke atas ekonomi negara kita yang bergantung pelaburan asing.

Justeru, sebagai langkah untuk menjanakan ekonomi negara kita, China sesuai dijadikan rakan pelaburan. Ini disebabkan keupayaan China dari segi kuasa ekonomi dan kekayaannya sebagai negara kedua terbesar di dunia.

Teknologi yang dimiliki China adalah jauh lebih baik dan murah berbanding Amerika dan Eropah. Umum tahu bahawa berbagai-bagai projek yang jauh lebih baik dilaksanakan oleh China seperti pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Hongqiao yang menghubungkan enam jenis pengangkutan dalam satu kluster terminal bangunan Lapangan Terbang tersebut. Malahan keretapi laju China merupakan antara yang terbaik dengan melepasi 420km sejam. Kos pembinaan landasan keretapi laju China adalah murah sedangkan keretapi laju adalah subjek yang mahal kosnya. Ia lebih murah berbanding negara-negara seperti Jepun dan Jerman.

Pembuatan keretapi laju tidak sama dengan teknologi pembuatan keretapi lokomotif yang menggunakan enjin diesel atau minyak. Situasi ini menyebabkan kos pembinaan keretapi laju dan landasannya memakan belanja RM55 bilion. Sepanjang landasan keretapi laju terdapat peralatan elektromagnet yang memerlukan penyelenggaraan harian. Kepakaran rakyat kita amat kurang dalam soal penyelenggaraan keretapi laju kerana pengkhususan kerjaya ini masih baru bagi Malaysia. Oleh itu, kita perlu memberikan konsesi penjagaan dan pembinaan kepada China sebelum anak-anak muda dapat menguasai ilmu tersebut.

Negara China mempunyai polisi luar yang berbeza dengan negara Amerika dan Barat. Mereka hanya mahu perkongsian kekayaan bersama tanpa menjajah sesebuah negara. Perlu difahami bahawa jika negara China ingin menjajah sesebuah negara, maka Korea Utara merupakan negara pertama yang akan dijajah oleh China. Dasar China ke atas Asia Tenggara adalah hanya membantu keluar sesebuah negara daripada imperialisme dan campur tangan politik Amerika dan Barat. Malahan dasar Deng Xiao Peng yang mereformasikan China menjadi kuasa dunia melalui kedamaian dan keamanan bukannya penjajahan dan peperangan.

Berapa banyak negara yang diceroboh oleh China sejak tahun 1990 sehingga kini. Berapa banyak negara yang mendapat bantuan kewangan, kepakaran dan pembangunan dari China. Malahan Myanmar yang mendapat bantuan kewangan dan pembangunan masih mampu membuat dasar negara bangsa mereka. Inikan kita yang hanya tahu 'bising' tetapi kurang memahami erti permainan geopolitik kuasa-kuasa dunia.

Memang kita memerlukan China bukan sahaja membangunkan infrastruktur tetapi juga keseimbangan pengaruh antara dua kuasa dunia. Jika kita hanya bergantung pada Amerika dan Barat bermakna kita perlu akur apa yang dikehendaki oleh mereka seperti kebebasan LGBT, liberalisme dan berbagai-bagai permintaan yang kadang kala mencabar adat tertib sosiobudaya kita.

Hubungan perdagangan dan bantuan China sebenarnya telah bermula sejak termeterainya Perjanjian AFTA (Asean Free Trade Agreement) yang mana termasuklah terma Asean Plus Three iaitu perjanjian negara-negara Asia Tenggara bersama Jepun, China dan Korea Selatan. Bermula saat tersebut barangan dan produk China dibawa masuk tanpa adanya halangan perdagangan.

Pada tahun 2015, hubungan negara kita dengan China semakin erat apabila Perjanjian Pembangunan Infrastruktur dan Pelaburan Bersama melalui penglibatan AIIB (Asian Infrastructure Invesment Bank). Perjanjian ini sebenarnya yang membawa kepada apa yang berlaku hari ini. Konsep Pembangunan Mampan Bersama yang digunakan oleh China ke atas Malaysia pada masa kini. Maka implikasi hutang China tidak akan membawa kepada penjajahan. Sebaliknya layanan China ke atas Malaysia adalah ibarat duduk sama rendah berdiri sama tinggi.




0 comments:

share2