Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 14, 2017

[LIPIS] SURI RUMAH TERLANTAR DERITA KANSER HIDUNG


Suri rumah terlantar derita kanser hidung


"Sejak disahkan menghidap penyakit kanser hidung tahap tiga setahun lalu, kesihatan saya semakin merosot dan kini hanya terlantar di atas katil.

Demikian kata seorang suri rumah yang tinggal di Kampung Tanjung Lipis, di sini, Rohana Sulaiman, 50, yang turut menghidap penyakit Talasemia sejak berusia sembilan tahun.

Menurutnya, ekoran penyakit tersebut kini dia bergantung bantuan sepenuhnya daripada ahli keluarga untuk menguruskan diri.

"Masa mula-mula kena tu darah keluar dari hidung tanpa henti. Suami saya, Baharum Akob, 45, kemudiannya membawa saya ke Hospital Kuala Lipis sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

"Doktor pakar di Hoshas Temerloh mengambil sampel hidung saya untuk dihantar ke Hospital Kuala Lumpur sebelum mengesahkan saya menghidap kanser hidung tahap tiga,"katanya kepada Sinar Harian.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia kemudiannya membuat rawatan radioterapi di HKL sebanyak 35 kali bagi membunuh sel-sel kanser.

Menurutnya, selain rawatan susulan di Hoshas Temerloh dan HKL, dia juga perlu menambah darah pada setiap bulan di Hospital Kuala Lipis bagi penyakit Talasemia.

"Tangan dan kaki saya kini membengkak kesan daripada jarum suntikan ketika rawatan Talasemia ditambah dengan kanser yang menyerang menyebabkan saya tidak mampu bergerak ke mana-mana," katanya.

Sementara itu, Baharum berkata, dia rungsing memikirkan kos perubatan dan keperluan isterinya yang mencecah RM1,000 sebulan.

Beliau yang hanya bekerja sebagai pemandu di Majlis Daerah Lipis (MDL) di sini berkata, wang gajinya masih tidak mencukupi untuk membeli keperluan isterinya tambahan mereka mempunyai seorang anak, Mohamad Firdaus, yang masih bersekolah di Tahun Empat.

"Isteri saya bergantung sepenuhnya pada susu rumusan khas Enercal Plus berharga RM70 setin dan setiap bulan saya terpaksa membeli lima tin. Selain itu 30 kampit lampin pakai buang diperlukan setiap bulan kerana isteri saya perlu menukarkan dengan kerap bagi mengelak kulit melecet.

"Anak perempuan sulung kami, Nur Husna, 20 , juga terpaksa melupakan hasrat untuk mencari pekerjaan bagi membantu keluarga kerana perlu menjaga ibunya yang terlantar sakit," katanya.

Baharum berkata, dia sangat mengharapkan bantuan dari mana-mana pihak bagi bantu meringankan beban yang ditanggungnya.

Orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian di akaun Public Islamic Bank, 6818153106: Rohana Sulaiman atau berhubung dengan Baharum di talian 0179423142.


0 comments:

share2