Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 20, 2017

LEBIH 10 RUMAH DIGENANGI AIR


Lebih 10 rumah digenangi air


Pasir Mas - Lebih 10 keluarga di Kampung Kelar terpaksa menanggung derita apabila rumah mereka digenangi air ekoran hujan lebat tanpa henti yang turun sejak malam tadi.

Penduduk mendakwa masalah tersebut berpunca dari pembentung yang menjadi laluan air sebelum itu telah 'ditimbus' oleh pemaju yang melakukan projek bekalan air bersih di kawasan berkenaan.

Dakwa penduduk lagi, hujan lebat menyebabkan air tersebut tidak dapat mengalir sekali gus menyaksikan kawasan berkenaan dilanda banjir kilat.

Seorang penduduk, Aini Mohd Zain,66, berkata, semenjak 30 tahun dia tinggal di sini kejadian air melimpah masuk ke dalam rumah yang disebabkan oleh hujan adalah kali pertama berlaku.

"Air mulai naik perlahan-lahan semenjak Isyak malam tadi dan pada jam 1 pagi ia dah mulai melimpah masuk ke dalam rumah.

"Setakat ini di ruang tamu air mencapai buku lali manakala di dapur pula paras betis.

"Lebih membimbangkan lagi apabila air naik terlalu cepat dan dia serta anak-anaknya tidak sempat mengalihkan empat buah kenderaan milik mereka kerana paras air sudah mencapai lutut," katanya.

Menurutnya, selagi hujan masih turun air akan semakin meningkat dan dia berdoa agar semua itu tidak berpanjangan.

Katanya, setakat ini dia dan keluarga telahpun memindahkan semua barangan penting ke tempat yang lebih tinggi.

Sementara Rasmiza Abdullah, 38, berkata, punca air bertakung dipercayai kerana pembentung yang sedia ada tidak berfungsi disebabkan projek yang sedang dijalankan di kawasan kampung tersebut.

"Saya sudah menghubungi pihak berkenaan dan mereka berjanji akan datang melihat keadaan tersebut serta cuba menyelesaikan masalah yang berlaku," katanya.


0 comments:

share2