Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 5, 2017

KERAJAAN TUNGGU LAPORAN SEBELUM BANTU NELAYAN


Minyak tumpah, kapal kontena berlanggar


Johor Bahru - Kerajaan negeri perlu menunggu laporan penuh daripada pihak berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berhubung kesan insiden tumpahan minyak di timur Selat Johor sebelum menentukan bantuan kepada nelayan yang terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor Ismail Mohamed berkata LKIM akan menentukan jumlah kerugian sebenar yang ditanggung nelayan terbabit.

"Biasanya kalau insiden yang melibatkan kerugian kepada nelayan, memang LKIM yang akan ambil tindakan atau Jabatan Perikanan Johor, dan mereka akan berunding dengan pihak yang terlibat untuk mengenal pasti jumlah kerugian.

"Pihak yang terlibat seharusnya bertanggungjawab atas kejadian seperti ini dan terpulang kepada mereka sama ada hendak memberi pampasan atau saguhati kepada nelayan-nelayan yang terjejas," katanya ketika dihubungi.

Ismail turut menegaskan kerajaan negeri akan memastikan nasib golongan nelayan terbabit dibela.

Sementara itu, jurucakap LKIM memberitahu Bernama nelayan yang terjejas boleh menghantar memorandum mengandungi senarai anggota Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) yang mengalami kerugian akibat insiden itu.

"Memorandum itu akan diserah kepada pihak yang terlibat bagi tujuan tuntutan insurans dan sekiranya tiada masalah, pembayaran akan terus dibuat kepada nelayan berkenaan.

"Tuntutan ganti rugi nelayan boleh meliputi ganti rugi berikutan kerosakan peralatan perikanan dan ganti rugi dari segi sumber pendapatan," katanya.

Terdahulu, 371 nelayan dari enam perkampungan nelayan di sekitar Pelabuhan Johor dilapor bakal menanggung kerugian lebih RM130,000 kerana tidak dapat turun ke laut sekurang-kurangnya seminggu berikutan tumpahan minyak itu.

Tumpahan minyak tersebut berpunca daripada perlanggaran dua kapal kontena berhampiran Pelabuhan Johor pada pukul 11.01 malam kelmarin.

Tiada kemalangan jiwa dilapor dalam insiden itu.




0 comments:

share2