Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 15, 2017

[ROMPIN] KENAIKAN TIDAK JEJAS VIP2017


Kenaikan tidak jejas VIP2017


Kenaikan bayaran yuran (fi) Pemuliharaan Taman Laut bagi pelancong asing bermula 1 Januari lalu dijangka tidak memberi kesan kepada Tahun Melawat Pahang 2017 (VIP2017).

Kenaikan enam kali ganda berbanding harga asal itu menjadikan bayaran terkini bagi bukan warganegara Malaysia dewasa adalah RM30, RM15 bagi kanak-kanak dan warga emas, manakala kekal percuma bagi orang kurang upaya (OKU).

Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang, Mohd Fazli Long berkata, kenaikan itu adalah berpatutan dengan tukaran mata wang asing semasa, selain status taman laut diiktiraf dunia.

Menurutnya, taman laut dalam negara ini dikategorikan sebagai megabiodiversity, iaitu dasar laut yang kaya dengan flora dan fauna ke-12 tercantik di dunia serta tersenarai dalam Coral Triangle Initiative (CTI).

"Dengan kelebihan dimiliki, wajar kita kenakan bayaran tinggi kerana ia adalah keistimewaan anugerah alam semula jadi bagi taman laut di rantau ini termasuk di Indonesia dan Filipina.

"Berdasarkan kadar tukaran wang asing serta status taman laut yang kita miliki, saya jangka ia tidak memberi kesan kepada VIP2017," katanya.

Tambahnya, pelancong tempatan tidak perlu berasa bimbang kerana kadar bayaran untuk mereka masih dikekalkan dan bayaran baharu bagi beberapa aktiviti atau perkhidmatan di kawasan taman laut yang baharu diperkenalkan masih berpatutan.

Pada Rabu lalu, akhbar ini melaporkan bayaran fi Pemuliharaan Taman Laut yang dikenakan ke atas setiap pelancong asing untuk ke kawasan taman laut di seluruh negara termasuk Pulau Tioman dinaikkan bermula 1 Januari lalu.

Dalam pada itu, Mohd Fazli turut menyeru kepada agensi pelancongan agar membantu JTLM memberi penerangan jelas kepada pelancong agar tidak timbul salah faham.

"Kita harap agensi pelancongan terlibat dapat beri penerangan jelas kepada pelancong asing supaya mereka dapat sediakan wang secukupnya ketika membuat bayaran di jeti, sebelum menaiki feri ke pulau," katanya.


0 comments:

share2