Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 15, 2017

[KUANTAN] 7 GAGAL BAWA KELUAR KAYU CENGAL


7 gagal bawa keluar kayu cengal


Tujuh individu gagal membawa keluar kayu cengal secara haram di Hutan Simpan Berkelah, apabila mereka berjaya diberkas anggota Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), kelmarin.

Pengarah Perhutanan Pahang, Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman berkata, rondaan anggota Unit Penguat kuasa JPNP awal pagi semalam bermula jam 3 pagi melalui kawasan Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Sungai Pohoi, di sini, berjaya menemui laluan jentera yang mencurigakan.

Menurutnya, suspek yang ditahan berusia 30 hingga 50 tahun membabitkan seorang warga Indonesia manakala selebihnya adalah warga tempatan.

“Turut dirampas dua jentera iaitu jentolak dan jengkaut serta pemotong kayu bergergaji.

“Keadaan gelap di situ menyebabkan pemandu jentera tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa. Hasil pemeriksaan di dalam hutan simpan itu mendapati sebuah jentolak sedang melakukan kerja di kawasan bukit,” katanya.

Mohd Paiz berkata, pihaknya difahamkan kegiatan itu baru beberapa hari dilakukan kerana mereka tidak sempat menebang pokok cengal yang dipercayai banyak terdapat di kawasan hutan simpan berkenaan.

“Tujuh individu yang ditahan itu kini dalam siasatan sebelum tindakan mahkamah diambil, mereka akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984, jika sabit kesalahan boleh didenda atau di penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mohd Paiz berkata, pihaknya memberi amaran kepada sindiket atau kumpulan yang cuba melakukan kegiatan mencuri balak atau hasil hutan supaya tidak melakukannya bagi mengelak dikenakan tindakan.

Katanya, anggota Unit Penguat kuasa JPNP Timur dan Barat kini melakukan rondaan terutama membabitkan kawasan panas yang menjadi tumpuan kegiatan menceroboh dan membawa keluar hasil hutan.

“Ini adalah kejayaan membanggakan Unit Penguat kuasa JPNP tahun ini dalam usaha membendung kegiatan menceroboh dan membawa keluar balak secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan kesalahan hingga menyebabkan kerajaan negeri rugi,” katanya.

Mohd Paiz berharap masyarakat dapat bekerjasama dengan jabatan menyalurkan maklumat jika mereka mengetahui ada kegiatan menceroboh dan membawa keluar balak secara haram.



0 comments:

share2