Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 27, 2017

KECOH HANTU KELUAR DARI TV ALA FILEM THE RING


Kecoh Hantu Keluar Dari TV Ala Filem The Ring


New York – Bayangkan apakah yang akan anda rasa jika ‘hantu’ berambut panjang tiba-tiba boleh pula merangkak keluar daripada kaca televisyen dan cuba mengejar anda sendiri?

Itulah yang berlaku kepada sekumpulan pelanggan di sebuah kedai elektronik di sini apabila mereka terpaksa lari lintang-pukang sambil terpekik-pekik apabila terkejut melihat ‘hantu’ seram muncul di depan mata.

Namun, ternyata semua itu sebenarnya hanya gimik untuk mempromosikan filem seram terbaharu ‘Rings’ – susulan kepada filem ‘The Ring’ – yang bakal ditayangkan di pawagam nanti, menurut portal berita Daily Mail.

Dalam video yang sudah menjadi tular dan dimuat naik ke akaun rasmi ‘Rings’ menerusi laman Twitter, pelanggan pada mulanya dibawa masuk ke sebuah kedai elektronik untuk meninjau pelbagai set televisyen di situ.




Pembantu jualan kedai tersebut menjelaskan kepada mereka ciri-ciri menarik televisyen-televisyen berkenaan, yang katanya mampu mempamerkan gambar seakan-akan hidup, menurut Daily Mail.

Beliau kemudian meninggalkan ruang pameran itu, ketika promosi trailer dari filem ‘Rings‘ dimainkan di televisyen. Namun, alangkah terperanjatnya mereka, apabila watak hantu kanak-kanak perempuan berambut panjang muncul.

Dengan berpakaian serba putih seperti dalam trailer tersebut, lembaga itu tiba-tiba ‘hidup’ dan merangkak keluar daripada kaca televisyen. ‘Hantu’ yang dikenali sebagai Samara itu berwajah kelabu dan matanya cengkung.

Dia bahkan cuba selamba menyentuh badan beberapa individu dari belakang yang leka menonton trailer itu. Mereka yang disentuh malahan dilihat lari ketakutan sambil meneriak kuat “Ya Tuhan!”.

Filem ‘Rings’ berkisar tentang kisah seorang wanita yang bimbang akan teman lelakinya akibat obses terhadap sebuah pita video lama, yang sebetulnya membawa maut kepada sesiapa sahaja menontonnya.

Dalam filem ‘The Ring‘, yang dikeluarkan 14 tahun lalu dan berdasarkan kepada filem Jepun bertajuk ‘Ringu’, watak hantu bernama Samara itu adalah seorang kanak-kanak yang mati dihumban ke dalam perigi buta.

Bagi sesiapa sahaja yang secara kebetulan pernah menonton pita video berpuaka tersebut, hantu Samara akan datang dengan merangkak keluar daripada kaca televisyen dan kemudian membunuh mereka sendiri.

Ramai netizen berkata mereka akan turut memberikan reaksi sedemikian jika gimik itu berlaku tetapi ramai juga berkata video gimik tersebut membuat mereka lebih teruja untuk menonton ‘Rings’.

Sumber

0 comments:

share2