Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 27, 2017

[MARAN] BIRO KEBAJIKAN UMNO BANTU MANGSA BANJIR


Banjir baru


Biro Kebajikan Umno mengenal pasti beberapa isu yang dihadapi mangsa banjir selepas turun padang ke beberapa negeri yang dilanda musibah berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata pihaknya akan mengetengahkannya kepada kerajaan agar tindakan segera dapat diambil bagi mencari jalan penyelesaian.

"Sebelum ini kami telah turun ke beberapa negeri seperti Johor, Kelantan, Terengganu dan Pahang sendiri untuk menyalurkan sumbangan daripada UMNO dan kami telah himpunkan semua masalah supaya agensi kerajaan yang terlibat dapat mengambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan sumbangan kepada lebih 53 keluarga di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Kampung Luit di sini lewat malam tadi.

Menurutnya, antara masalah yang dikenal pasti ialah ketiadaan bantuan kepada mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan, walaupun rumah mereka turut terjejas dengan bencana itu.

"Ada sesetengah mangsa banjir enggan berpindah ke pusat pemindahan kerana khuatir barangan di rumah akan dicuri dan sebagainya.

"Mereka yang tidak berpindah ini tidak akan mendapat sebarang bantuan walaupun mereka juga mangsa, jadi kami akan minta agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk kaji semula perkara ini," kata Shamsul Anuar.

Dalam masa yang sama, katanya keprihatinan Umno yang menyalurkan bantuan menerusi biro berkenaan ketika rakyat menghadapi musibah jelas membuktikan parti itu sentiasa mendekati rakyat.

"Kami dengar perit jerih rakyat setiap masa dan tampil memberikan bantuan tanpa mengira masa bukan hanya apabila tiba musim pilihan raya seperti sesetengah parti," katanya.


0 comments:

share2