Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 4, 2017

[JERANTUT] AMBIL INISIATIF TUBUH GENG KUBUR


Geng Kubur Pak Saad


Kerana bimbang melihatkan keadaan kubur tidak terurus, seorang peneroka tanah rancangan ini menubuhkan kumpulan sukarela terdiri daripada kalangan belia bagi membersihkan kawasan Tanah Perkuburan Islam Felda Kota Gelanggi 2 dan 4.

Kumpulan yang dikenali sebagai Geng Kubur Pak Saad itu melakukan kerja-kerja pembersihan sebulan sekali bagi memastikan kubur tidak dipenuhi semak.

Bermula hanya dengan empat sukarelawan pada awal penubuhannya tiga tahun lalu, bilangan ahli kumpulan itu telah bertambah kepada 20 orang sekarang ini.

Peneroka terbabit, Mat Saad Yahya, 63, berkata, segala kelengkapan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di kubur disediakan sendiri oleh ahli kumpulan itu.

“Pada awalnya saya didatangi oleh jawatankuasa masjid. Mereka datang nak bincang macam mana nak buat sebab tengok kubur semak.

“Saya pun bincanglah dengan beberapa belia, mula-mula itu empat orang sahaja. Saya sediakan minyak, tapi minta mereka sediakan mesin,” katanya.

Tambahnya, lama kelamaan kumpulan itu semakin bertambah dan usaha untuk meminta mereka turun melakukan kerja-kerja sukarela itu lebih mudah dengan tertubuhnya kumpulan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Sekarang ini hendak berbincang atau hendak melakukan apa-apa muda sahaja. Cuma perlu WhatsApp. Kalau ada yang tak boleh datang, bole ganti dengan orang lain.

“Boleh dikatakan setiap bulan ada sahaja orang baru masuk kumpulan ini. Inilah usaha yang dilakukan bagi membuka peluang golongan belia melakukan amal jariah di samping menggalakkan mereka melakukan kerja-kerja lebih berfaedah,” katanya.

Mat Saad juga berkata, setakat ini mereka bukan sahaja komited membersihkan kawasan kubur, malah turut menyusun semula kedudukan batu nisan di kubur berkenaan supaya lebih teratur dan mengikut arah kiblat dengan lebih tepat.

“Sebenarnya kedudukan kiblat dahulu dan sekarang sudah lari sikit. Jadi kami tukar kedudukan nisan itu dengan bantuan pihak yang lebih pakar.

“Selain itu, pada bulan Ramadan, kerja-kerja pembersihan kubur akan dilakukan dua kali bagi memberi ruang waris menziarahi kubur keluarga mereka dengan lebih selesa,” katanya.

Dalam pada itu, Mat Saad berkata, dia berhasrat untuk memagarkan sekeliling kubur berkenaan bagi memastikan tiada binatang ternakan mengganggu kawasan kubur.

Namun katanya, dia berharap agar ada pihak yang dapat menyediakan peruntukan bagi membina pagar terbabit memandangkan ia melibatkan kos tinggi.

“Sebelum ini pernah mohon peruntukan, tapi belum terima sebarang jawapan dari pihak terbabit. Harap tahun ini, dapatlah kami pasang pagar. Lembu dan kambing selalu masuk kawasan kubur. Bukan sahaja merosakkan pokok bunga, malah mencemarkan kawasan kubur dengan najis mereka,” katanya.

Dalam masa sama, Mat Saad turut berharap agar satu lagi laluan kubur berkenaan diturap tar bagi membolehkan kedua-dua laluan ke kubur digunakan orang ramai dengan lebih selesa.


0 comments:

share2