Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 13, 2017

DISANGKA HILANG DIKEBAS PENYAMUN, RUPA-RUPANYA....


Disangka hilang dikebas penyamun, rupa-rupanya...


Tumpat - Sangkanya lembu peliharaan hilang dikebas pencuri namun selepas melihat ke dalam lubang kumbahan, lembunya ada di situ dan hampir mati lemas.

Dengan bantuan penduduk kampung di Sungai Tapang, lembu kepunyaan Mohd Nawi Yaakob, 47, terperangkap lebih empat jam di dalam lubang kumbahan sedalam dua meter berjaya dikeluarkan menggunakan jengkaut.

Mohd Nawi berkata, dia menyedari kehilangan lembunya itu pada jam 7 pagi semalam ketika turun dari rumah untuk menghantar anak ke sekolah.

"Pelik sebab lembu yang ditambat di depan rumah ini tak ada.

"Hanya tinggal tali, kelibat lembu betina yang sedang bunting tujuh bulan tak nampak bayang," katanya.

Menurutnya, dia terus menghantar anak ke sekolah dan pulang ke rumah untuk mencarinya.

"Berpandu pada tali itu, saya nampak tali jatuh ke dalam lubang kumbahan.

"Bila saya jenguk, memang terkejut kerana nampak kepala lembu sahaja digenangi air bercampur darah.




"Lembu saya kesakitan sebab tanduknya patah, luka-luka di badan dan perlu dibawa keluar segera," katanya.

Khuatir lembu itu mati, Mohd Nawi bersama tujuh penduduk kampung dengan bantuan jengkaut mengeluarkan lembu yang terperangkap itu selepas gagal ditarik dengan pancuan empat roda.

"Lembu itu beratnya 200 kilogram, lubang kumbahan itu sempit memang sukar untuk saya turun ke dalam.

"Jadi kami campakkan tali dan jolok dengan kayu bagi membolehkan tali itu tersangkut di badan lembu dan ditarik keluar dengan jengkaut," katanya.




Menurutnya, dua jam operasi mengeluarkan lembu itu dan keadaan lembunya semakin pulih walau pun mengalami kecederaan di badan dan kaki.

Katanya, dia menambat lembunya berhampiran lubang kumbahan yang ada penutup dan berkemungkinan penutup itu pecah dipijak lembu.



0 comments:

share2