Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 13, 2017

[BERA] BINA RUMAH GUNA DUIT SUMBANGAN


Bina rumah guna duit sumbangan


Ketua Kampung Chemomoi menyangkal dakwaan mengatakan anak-anak warga emas, Bedah Apam, 80, mengeluarkan wang untuk membina sebuah rumah untuk warga emas itu selepas rumah sedia ada musnah dalam kebakaran Oktober lalu.

Abd Razak Abd Ghani berkata, kenyataan itu tidak benar dan rumah itu sebenarnya dibina menggunakan wang kira-kira RM10,000 yang disumbangkan oleh agensi-agensi kerajaan dan orang ramai.

“Dia ada tanya saya lama lagi ke nak dapatkan bantuan rumah, tapi saya dah maklumkan nak dapatkan bantuan rumah...prosesnya agak memakan masa kerana bencana bukan berlaku di Felda Chemomoi sahaja.

“Semua surat-surat permohonan kita dah hantar namun, semuanya terserah pada agensi-agensi terlibat dan disebabkan itulah dia (Makcik) nak bina rumah ini sebab mak cik itu ini sendiri yang cakap.

“Saya ada bertanya dengan dia lagi, nak bina ini nak guna duit siapa. Dia cakap dia nak gunakan duit sumbangan yang ada untuk membuat rumah. Jadi, di sini sudah terbukti bahawa kenyataan itu pernah dikeluarkan di hadapan saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Chemomoi, di sini semalam.

Abd Razak berkata, dia kesal Bedah mengeluarkan kenyataan tidak benar dan seolah-olah tidak berterima kasih kepada pihak yang membantunya.

Menurutnya, pihaknya tidak pernah menjanjikan sebuah rumah untuk Bedah namun pada masa sama beliau berusaha mendapatkannya untuk warga emas terbabit.

“Proses untuk mendapatkan sebuah rumah bergantung kepada peruntukan daripada kerajaan. Sebelum ini, ada juga seorang mangsa kebakaran di Kampung Baris, setahun lebih baru dapat bina rumah, bukan cepat jadi kita kena sabar. Ini berlaku kebakaran pada bulan Oktober. Belum tiga bulan lagi dah buat kenyataan.

“Kita sebagai JKKK cuba membantu sebaik mungkin dengan memohon rumah kepada pejabat menteri besar dan kita juga memohon daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan setakat ini belum ada agensi yang menjanjikan untuk buat rumah buat mak cik ini, sekarang ini kita masih menunggu jawapan daripada kedua-dua agensi ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Razak turut menolak dakwaan anak Bedah, Rahana Md Nor, 44 bahawa ibunya juga ada memohon untuk mendapatkan rumah Skim Rumah Mesra Rakyat tapi sampai sekarang tiada jawapan walaupun mendapat kelulusan setahun lalu.

Katanya, sebenarnya beliau sendiri sudah mengetahui jawapan bila rumah itu akan dibina.

“Apabila geran dah diserah, dia mesti akan dapat jawapan bila rumah itu akan dibina kerana itu adalah prosedur. Permohonan memang dah lulus setahun lalu iaitu pada Oktober tahun lalu, saya telah menyerahkan geran rumah dan pihak agensi yang menguruskan beritahu kepada mereka bahawa rumah itu akan dibina tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, walaupun rumah Bedah siap dibina, bekalan elektrik masih tiada.

Abd Razak berkata, pihaknya akan berurusan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya bekalan elektrik dapat disambungkan segera.


0 comments:

share2