Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 7, 2017

CUACA PANAS MUDAHKAN KERJA PEMBERSIHAN


Banjir baru


Kuala Krai - Cuaca cerah sejak dua hari lepas membolehkan mangsa banjir dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kelantan melakukan kerja pembersihan di kediaman mereka yang terjejas.

Tinjauan Bernama di beberapa daerah yang mengalami banjir sejak 31 Disember lepas khususnya di Tanah Merah dan Kuala Krai, mendapati penduduk dibantu anggota NGO membersihkan rumah dan kemudahan awam seperti masjid, surau dan sekolah. 

Pengerusi Perwakilan Penduduk Kampung Bukit Sireh di sini, Sihabidin Yusoff, 55, berkata sebanyak 642 orang daripada 145 keluarga dari kampung itu yang dipindahkan ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Bedal di sini, kembali ke rumah masing-masing sebaik banjir surut Rabu lepas. 

"Ketika berpindah ke pusat pemindahan, kami hanya sempat membawa dokumen penting dan mengalihkan kenderaan ke kawasan yang lebih tinggi," katanya ketika ditemui Bernama di sini, semalam.

Faris Mat Yaacob, 31, dari Taman Perumahan Warisan Bukit Sireh, berkata banjir kali ini tidak menyebabkan banyak kerosakan seperti banjir besar 2014 lalu.

"Mujur banjir kali ini tidak seperti tahun 2014, tiada kerosakan dan kerugian yang saya alami oleh kerana kami lebih bersedia dengan menyimpan barangan penting dan berharga di tempat yang selamat sebelum banjir datang," katanya. 

"Kami pulang ke rumah untuk membersihkan ruang tamu dan mencuci pakaian yang ditenggelami banjir," katanya.

Pengerusi Sukeralawan Bencana Tanah Merah Mohd Ramli Ab Rahman, 53, berkata keadaan cuaca cerah membolehkan pihaknya membantu penduduk setempat melakukan kerja pembersihan terutama di laluan utama di kampung yang terlibat banjir.

"Kita adakan kerjasama dengan kelab pacuan empat roda di Tanah Merah bagi membantu penduduk setempat melakukan kerja-kerja tersebut sejak dua hari lalu. 

"Antara kerja yang dilakukan ialah bergotong-royong membersihkan jalan Kampung Kulim dan Kampung Gual Ipoh yang mana banjir menyebabkan banyak pokok tumbang yang menghalang laluan tersebut," katanya.


0 comments:

share2